Bagus atau tidak? Sokong atau tidak?

Bagus atau tidak? Sokong atau tidak?

Lulus atau tolak Belanjawan 2021 akan dibuat melalui undian pada 25 Nov.

Yang di-Pertuan Agong mahu Belanjawan 2021 disokong semua anggota Dewan Rakyat demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Semua anggota Dewan maknanya termasuk wakil pembangkang. Bukan sekadar wakil kerajaan.

Pun begitu nasihat Agong boleh juga dilihat membawa makna Belanjawan 2021 yang disediakan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dirangka demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Lantas adalah tanggungjawab perdana menteri memastikan apa yang dibentang menteri kewangan beliau Jumaat lalu memenuhi aspirasi kebaikan untuk rakyat dan negara.

Saya bukan pakar ekonomi. Namun saya akui setiap kerajaan yang merangka belanjawan negara berhasrat membawa manfaat kepada rakyat dan negara serta kerajaan itu sendiri (untuk mengukuhkan kedudukan politik dan sebagainya).

Begitu juga dengan kerajaan Perikatan Nasional sekarang dengan Belanjawan 2021. Tentu ada baiknya. Setidak-tidaknya ada niat yang baik. Kalau ada kelemahan mungkin boleh imbau kata-kata “the road to hell is paved with good intentions”. Atau “jalan ke neraka diturap dengan niat baik”, yang antara lain membawa erti niat yang baik memerlukan tindakan susulan yang juga baik untuk mencapai matlamat.

Selain reaksi yang memuji Belanjawan 2021, saya baca juga pandangan seperti berikut: Bahawa ada potongan besar dalam peruntukan belanjawan terhadap hampir semua perkhidmatan kesihatan. Lalu diberi angka dan perinciannya untuk menguatkan hujah. Rungutan disuarakan pelbagai pihak termasuk golongan yang terlibat dalam sektor kesihatan.

Bagi wartawan veteran A Kadir Jasin, kerajaan bercakap lantang mengenai kesihatan rakyat dan memerangi Covid-19 tetapi peruntukan untuk penyakit “biasa” dipotong.

“Nampak seolah-olah kerajaan Perikatan Nasional hendak menyelamatkan rakyat jelata daripada Covid-19 tapi biarkan mereka mati kerana kencing manis, sakit jantung, barah dan penyakit pernafasan,” kata Kadir menerusi posting di Facebook.

Kata beliau lagi, “sudahlah rakyat jelata yang menderita penyakit berkenaan amat terdedah dengan Covid-19, mengurangkan peruntukan rawatan mereka atau menyukarkan akses mereka kepada rawatan samalah dengan menyerahkan mereka kepada Covid-19 untuk dibunuh”.

Ada benarnya kata-kata Kadir walaupun amat keras bunyinya.

Namun Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menafikan peruntukan kesihatan awam dikurangkan bawah Belanjawan 2021.

Kata beliau tidak ada bahagian peruntukan penjagaan kesihatan yang dikurangkan, “hanya beberapa perkara yang diklasifikasikan bawah dokumen anggaran perbelanjaan persekutuan”.

Bagi orang yang bukan pakar kewangan dan belanjawan seperti saya, apa yang pak menteri katakannya itu ialah “peruntukan ada tapi diletakkan bawah bab lain”. Baguslah kalau begitu, janji ada. Demi rakyat.

Bagaimanapun ada lain-lain rungutan. Umpamanya Persatuan Perubatan Malaysia ketika menyambut baik peruntukan RM1 bilion untuk memerangi wabak Covid-19, turut kecewa isu terhadap kedudukan dan kontrak pekerja peringkat bawah penjagaan kesihatan tidak diberi perhatian.

Pengamal industri pelancongan pula meluahkan rasa kesal Belanjawan 2021 tidak akan mampu menyelamat industri pelancongan yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19. Pelancongan antara penyumbang utama ekonomi negara.

Antara yang paling lantang mengkritik ialah Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin.

Bagi Razeef, Belanjawan 2021 ialah belanjawan “cincai”. Beliau mendakwa kerajaan Perikatan Nasional “tidak serius semasa menyediakannya dan belanjawan dilihat seperti kitar semula dan tidak jelas”.

Lalu beliau menyeru semua ahli Dewan Rakyat – sama ada pembangkang atau kerajaan – menolak Belanjawan 2021. Ahli Dewan kini sedang membahaskan Belanjawan 2021. Keputusan lulus atau tolak akan dibuat melalui undian pada 25 Nov.

Menurut amalan, ahli Dewan Rakyat Malaysia menyokong atau menolak sesuatu usul, rang undang-undang dan sebagainya berdasarkan pendirian parti masing masing. Dalam erti kata lain mengikut “arahan” parti atau “party whip” di Dewan Rakyat. Ingkar boleh mengundang tindakan disiplin.

Amat jarang sekali ahli Dewan Rakyat mengundi mengikut “cita rasa” atau pendirian serta pandangan peribadi.

Kadir mengingatkan kita mengikut “sistem Westminster kalau majoriti ahli Dewan tak setuju dengan hanya seringgit dalam Belanjawan, kerajaan hilang kuasa memerintah”.

Dan kita pula memang mencontohi atau mengamalkan sistem Westminster.

Hampir pasti ahli Dewan Rakyat mewakili kerajaan akan menyokong Belanjawan 2021. Melainkan sesuatu diluar dugaan berlaku. Kita tahu ada parti yang menyokong kerajaan tetapi berada di luar Perikatan Nasional. Kita tahu juga ada ahli Dewan yang dalam kerajaan tetapi parti mereka ada di luar Perikatan Nasional.

Pembangkang bagaimana pula? Tidak menyokong boleh mengakibatkan mereka terdedah dengan tuduhan tidak mematuhi nasihat Agong dan membelakangi keperluan dan kebaikan rakyat.

Namun yang paling penting ialah setiap ahli Dewan Rakyat – pembangkang dan kerajaan – meneliti untuk memastikan Belanjawan 2120 benar-benar membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Undilah berdasarkan hasil penelitian itu. Demi rakyat dan negara “with a clear conscience”.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.