Henti stigma buruk terhadap kesihatan mental

Henti stigma buruk terhadap kesihatan mental

Tiga profesional kesihatan mental menolak stigma terhadap kesihatan mental dan meminta rakyat untuk melihatnya dengan lebih serius memandangkan kadar bunuh diri meningkat setiap hari.

Secara purata tiga nyawa melayang akibat bunuh diri setiap hari, jangan biarkan orang yang anda sayangi menjadi sebahagian daripada statistik. (Gambar Pexel)
TANJUNG BUNGAH:
Kemurungan, kegelisahan dan pemikiran bunuh diri tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun gemanya yang terus menyiksa mental seseorang adalah pembunuh halimunan yang paling berbahaya.

Tahun ini, 89.4% panggilan kecemasan yang diterima oleh talian hotline Kementerian Kesihatan bukanlah untuk bantuan ambulans atau rawatan perubatan fizikal, sebaliknya pertolongan kerana berada di ambang mengakhiri hidup mereka.

Walaupun semakin ramai rakyat Malaysia tewas dalam pertempuran dengan Covid-19, kadar bunuh diri negara ini terus meningkat pada tahap yang sangat membimbangkan dan sudah tiba masanya kesihatan mental menjadi isu yang sama penting, seperti sanitasi dan juga memakai pelitup muka di tempat awam.

Setelah bercakap dengan tiga profesional penjagaan kesihatan yang pakar dalam pelbagai bidang dan kumpulan usia, FMT telah mengumpulkan maklumat yang sangat bernilai tentang bagaimana pembaca dapat melindungi orang yang disayangi dari pembunuh senyap ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut, pada Ahad ini dan tarikh-tarikh berikut, dengarkan pakar ini berkongsi nasihat mereka mengenai cara mengatasi masalah ini. (Gambar Wadda Gurdwara Sahib Pulau Pinang)

“Di Malaysia, pesakit mental terus terpinggir dan tidak banyak yang dilaburkan dalam perkhidmatan kesihatan mental,” kata Dr Bilbir K. Chingara Singh, Profesor Madya Ketua Jabatan Psikiatri Quest International University di Perak.

“Sudah tentu ada peningkatan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, tetapi ia tetap tidak mencukupi.”

Dr Bilbir K. Chingara Singh adalah perunding psikiatri dan Profesor Madya Ketua Jabatan Psikiatri Quest International University di Perak. (Gambar Dr Anildev Singh Malhi)

Ketika ditanya mengapa penjagaan kesihatan negara agak ketinggalan dalam sektor kesihatan mental, ketiga-tiga profesional tersebut mempunyai pandangan yang serupa.

Di mana mereka bersetuju bahawa kebanyakan rakyat sering dimomokkan dengan stigma dan lebih rela menutup sebelah mata terhadap masalah kesihatan mental.

Dr Anildev Singh Malhi adalah pakar psikiatri di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. (Gambar Dr Anildev Singh Malhi)

“Di negara kita, mereka yang mengalami penyakit mental berdepan stigma kerana kurangnya pemahaman dan pendidikan mengenai penyakit mental.

“Ini akan menimbulkan ketakutan dan lama-kelamaan hasilnya adalah diskriminasi.” kata Dr Anildev Singh Malhi, seorang pakar psikiatri yang berpusat di Ipoh.

Dr Semran Kaur Badeshea menyokong kenyataan Dr Anildev, sekali gus menekankan bahawa masalah ini berleluasa terutama di kawasan yang kurang maju.

“Stigma yang terpalit terhadap kesihatan mental terlalu hebat terutama di daerah terpencil dan luar bandar. Orang takut dilabel dengan diagnosis kesihatan mental kerana mereka mengaitkannya dengan ‘menjadi gila’ dan ‘lemah’, “kata Dr Semran sambil menghela nafas.

Dr Semran Kaur Badeshea adalah perunding psikiatri di ‘Malaysia and the Youth and Perinatal Mental Health Australia’. (gambar Dr Semran Kaur Badeshea)

Turut bersetuju dengan kenyataan itu, Dr Bilbir yang berkata “sangat mengejutkan apabila ramai orang menyalahkan individu itu atas kesulitan mereka.

“Malah, sebenarnya ramai orang tidak percaya bahawa masalah kesihatan mental itu wujud sama sekali!” tambah Dr Bilbir, bahawa ada juga yang percaya penyakit mental disebabkan oleh kuasa ghaib dan jahat.

Oleh kerana kecuaian dan stigma ini, purata tiga rakyat Malaysia kehilangan nyawa setiap hari dan Polis Diraja Malaysia melaporkan sejumlah 468 nyawa terkorban akibat bunuh diri antara Januari hingga Mei tahun ini.

Dalam tempoh singkat lima bulan, kadar bunuh diri pada tahun 2021 telah melonjak ke lebih daripada separuh daripada 609 kes tahunan yang dilaporkan pada tahun 2019 dan ketiga-tiga pakar perubatan ini bersetuju bahawa sebahagian besarnya berpunca daripada pelaksanaan perintah sekatan.

Kira-kira setengah juta orang dewasa di Malaysia mengalami kemurungan. (Gambar Flickr)

“Ia membawa kesan buruk kepada ramai orang kerana kebanyakan mereka berdepan masalah untuk bertahan akibat kehilangan pekerjaan dan pinjaman yang belum dibayar,” kata Dr Bilbir.

“Hidup terkurung di rumah juga bukanlah sesuatu yang biasa bagi kebanyakan orang dan ramai individu mula mempunyai pemikiran negatif untuk mengakhiri semuanya,” katanya.

Dr Anildev menegaskan bahawa rakyat Malaysia telah dikurung di rumah mereka selama hampir satu setengah tahun dan perubahan persekitaran seperti itu menyebabkan kesejahteraan mental dan fizikal mereka sangat terjejas.

“Perubahan fizikal seperti berdebar-debar, sesak nafas, perubahan pola tidur atau selera makan turut dialami mereka, terutama secara emosional,” kata Dr Anildev, sambil menambahkan kesedihan, kegelisahan dan kehilangan minat adalah antara petanda seseorang itu sedang bergelut.

Kanak-kanak kini terpisah dari persekitaran mereka yang suka bermain dan dipengaruhi oleh emosi. (Gambar Pexel)

Golongan muda tidak terkecuali dari mimpi buruk ini kerana menurut Dr Semran perintah sekatan perjalanan telah mengasingkan dan mengubah dunia mereka yang ceria menjadi sebaliknya.

“Ramai kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masa di media sosial dan permainan dalam talian yang telah mencetus pelbagai masalah seperti ketagihan permainan,” katanya sambil menambah ada yang menghabiskan masa 8 hingga 10 jam sehari di skrin alat peranti mereka.

“Biasanya sebaik ibu bapa menyedari masalah itu dan mula meletakkan batasan, anak-anak menjadi agresif, emosi tidak teratur, mencederakan diri sendiri dan ada juga yang mengancam untuk membunuh diri,” ujarnya.

Bersikap empati dan sedia mendengar mampu menyelamatkan nyawa seseorang. (Gambar Pexel)

Walaupun rawatan kesihatan mental boleh dikatakan agak mahal, doktor menjelaskan bahawa kita masih dapat menyokong orang yang disayangi dengan berbuat baik dan saling bertanya khabar.

“Kadang-kadang, walaupun sekadar ucapan biasa diikuti dengan pertanyaan ‘Apa khabar’ atau ‘Bagaimana saya dapat membantu’ sudah cukup membuktikan bahawa ada insan yang mengambil berat tentang diri mereka,” kata Dr Anildev.

“Menghabiskan masa dengan mereka dan mendengar keluhan serta kesedihan mereka adalah perkara yang tidak ternilai selain terus menghubungi dan membantu mereka mendapatkan bantuan profesional jika perlu.”

Bagi warga tua, Dr Bilbir mengesyorkan agar mereka terlibat dalam aktiviti yang menyeronokkan seperti berjalan kaki, yoga, menonton filem dan membuat mereka banyak ketawa.

Penting untuk kita sering bertanya khabar mereka memandangkan keadaan seperti penyakit kronik, kematian rakan atau orang tersayang, persaraan dan kesunyian boleh menyebabkan warga emas ini kemurungan.

Pada Ahad ini, 22 Ogos, Dr Semran mengalu-alukan semua ke forum maya kendaliannya yang bakal menjelaskan secara terperinci tentang bagaimana ibu bapa dapat menyokong anak-anak mereka dan di mana untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Pada hari-hari berikutnya Dr Anildev dan Dr Bilbir juga akan berkongsi kepakaran dan pengetahuan mereka.

Walau apapun, manusia adalah makhluk beremosi dan kita bergantung antara satu sama lain untuk melalui situasi yang paling sukar, seperti yang dikatakan oleh Dr Anildev, ingatlah sentiasa ‘Kita Jaga Kita’.

Untuk mengetahui lebih lanjut daripada ketiga-tiga pakar ini dan mengelakkan seseorang yang anda kenali menjadi sebahagian daripada statistik, singgah ke laman Facebook Wadda Gurdwara Sahib Pulau Pinang pada 22, 24 dan 31 Ogos untuk mengikuti forum dalam talian percuma mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.