
Malaysia cukup terkenal seantero dunia sebagai sebuah negara yang indah. Dengan kepelbagaian etnik dan variasi hidangan yang dimiliki, layak dikatakan bahawa kita diberkati kerana dilahirkan di negara yang begitu pelbagai.
Keindahan ini turut terserlah pada kehalusan dan keindahan pakaian tradisional terutamanya yang digayakan pelbagai etnik di Malaysia Timur.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 21 Julai, kakitangan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) universiti tersebut mengundang orang ramai untuk ke sana.
“Doktor dan sukarelawan akan mengenakan pakaian pelbagai etnik bersempena Hari Sarawak,” kata perkongsian itu lagi.
Pada hari kejadian, (22 Julai 2021), suasana PPV UNIMAS bertukar rupa apabila seluruh kakitangannya memilih untuk mengenakan pakaian tradisional yang berwarna-warni dan serba indah.
“Mereka kelihatan sangat cantik mengenakan pakaian tradisi ketika menjalankan tugas, kami tidak dapat menahan diri dan mengagumi keaslian busana yang dikenakan!” kata seorang pengunjung PPV tersebut.
Bercakap kepada World Of Buzz, seorang kakitangan di PPV, Raziq berkata: “Kami sesama sendiri merancangnya. Ia tidak rasmi atau tidak diwajibkan. Kami hanya mahukan suasana yang lebih ceria ketika wabak ini dan sekadar berseronok!”
Bukan hanya pakaian tradisional Sarawak, malah penerima vaksin turut disambut dengan karakter ‘minion’ di PPV tersebut!
Sebelum pulang, kakitangan PPV turut mengharapkan semua penerima vaksin selamat dan dilindungi sepanjang waktu sukar ini.
“Jaga diri anda, fizikal dan mental. Sila dapatkan vaksinasi dan jaga keselamatan diri! Semoga kita terus kuat.”
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]