
Seorang bayi yang dilahirkan dengan berat tidak sampai 0.4 kilogram (kg) mencipta keajaiban apabila menjadi bayi paling pra-matang yang berjaya hidup dengan menyambut ulang tahun kelahiran pertamanya baru-baru ini.
Richard Scott William Hutchinson yang lahir hampir lima bulan di Hospital Kanak-Kanak Minnesota, Mineapolis, Amerika Syarikat turut diiktiraf Guinness World Records selepas usianya mencapai setahun.
Menurut jurucakap Guinness, ketika dilahirkan, saiznya begitu kecil dan ibu bapanya boleh memegang anak mereka dengan hanya menggunakan sebelah tapak tangan saja.
Ibunya, Betch Hutchinson, dikatakan mengalami komplikasi teruk yang menyebabkannya terpaksa melahirkan bayi 131 hari awal sebelum jangkaan kelahiran sepatutnya.
“Ketika bapa, Rick dan ibunya, Beth menerima kaunseling mengenai keadaan anak mereka yang dilahirkan secara pra-matang, pasangan ini diberitahu bahawa Richard tidak mempunyai peluang untuk hidup.
“Saya tahu beberapa minggu pertama agak sukar untuk Richard tetapi saya tetap merasakan dia boleh melaluinya dan berjaya hidup,” kata pakar neonatologi, Dr Stacy Kern kepada Guinness World Records.
Selain itu, jurucakap Guinness berkata, disebabkan pandemik Covid-19, ibu bapanya tidak dapat menemani anak mereka dan terpaksa berulang-alik dari rumah di daerah St Croix, Wisconsin ke Minneapolis pada setiap hari.
“Kami ingin pastikan dia mendapat sokongan keluarga. Saya rasa ia membantunya untuk melalui kesukaran itu kerana dia tahu hanya kami yang boleh diharapkan,” kata Rick.
Selepas enam bulan berada di hospital, Richard akhirnya dibawa pulang ke rumah pada Disember tahun lalu.
“Saya bagaikan tidak percaya. Kami masih lagi terkejut tetapi amat gembira. Ini juga memberi peluang kepada kami berkongsi cerita kepada orang ramai dan meningkatkan kesedaran mengenai kelahiran bayi pra-matang,” kata Beth.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]