Simulasi terjun udara rawat kanak-kanak ‘cerebral palsy’

Simulasi terjun udara rawat kanak-kanak ‘cerebral palsy’

Aktiviti simulasi ini dipercayai boleh meningkatkan keupayaan fizikal kanak-kanak ‘cerebral palsy’.

Projek ‘Fly With Me’ di Russia bantu kanak-kanak ‘cerebral palsy’ tingkat keupayaan fizikal mereka.

Maryan Dolik yang berpakaian lengkap dan mengenakan topi keledar kelihatan bersedia untuk melakukan aktiviti simulasi terjun udara di Saint Petersburg, Russia.

Beberapa saat kemudian, dia terapung di udara dengan tiupan angin yang kuat menyebabkan remaja berusia 13 tahun itu lupa seketika mengenai penyakit ‘cerebral palsy’ yang dihidapinya.

Aktiviti itu bukan dilakukan secara suka-suka tetapi ia adalah kaedah terapi yang luar biasa untuk membantu remaja terbabit bergerak.

“Saya kini boleh berjalan dengan lebih baik, badan menjadi semakin kuat dan mempunyai ketahanan yang tinggi.

“Saya ingin mencapai segalanya dan mahu melakukan semua perkara tanpa bantuan sesiapa,” kata Dolik yang bercita-cita ingin menjadi jurulatih terjun udara.

Dolik terpilih untuk menyertai projek ‘Fly With Me’ yang membantu kanak-kanak yang menghidap ‘cerebral palsy’ untuk meningkatkan keupayaan fizikal masing-masing.

Menerusi bimbingan jurulatihnya, Dolik diberi latihan seminggu sekali dan ibunya, Irina Dolik gembira dengan perubahan pada pergerakan fizikal anaknya sejak mengikuti projek terbabit tiga bulan lalu.

“Koordinasi pergerakannya menunjukkan banyak perubahan setakat ini,” kata Irina.

Penggunaan simulasi terjun udara sebagai terapi untuk golongan itu sebenarnya dilakukan secara meluas di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat.

Russia yang menjadi sebuah negara dianggap agak ketinggalan dari segi sokongan terhadap komuniti kurang upaya pula masih berusaha mengerakkan kaedah terapi berkenaan.

Seorang pakar perubatan, Valida Isanova berkata, kaedah tradisional yang digunakan di Russia untuk merawat kanak-kanak yang menghidap ‘cerebral palsy’ seperti urutan dianggap sudah ketinggalan zaman.

Menurutnya, simulasi itu boleh membantu pergerakan sendi dan otot yang tidak digunakan dalam aktiviti harian namun ia masih perlu dikaji untuk menghasilkan satu bukti yang saintifik.

Manakala pengendali projek itu, Yekaterina Inozemtseva berharap program terdiri daripada sesi selama enam minit bersama aktiviti fizikal lain boleh diakses oleh lebih ramai lagi kanak-kanak.

“Kami mahu sesi pemulihan fizikal seperti ini dimasukkan dalam program di peringkat persekutuan supaya ia dapat disediakan secara percuma kepada setiap kanak-kanak yang menghidap ‘cerebral palsy’,” katanya kepada AFP.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.