Diet seimbang: Bekas guru dulu gempal, kini tegap berotot

Diet seimbang: Bekas guru dulu gempal, kini tegap berotot

Scarlett mengamalkan diet sihat dengan peraturan 90/10 iaitu, 90 untuk diet sihat manakala selebihnya untuk memenuhi keinginan saja.

Scarlett dulu dan kini. (Gambar Jam Press/@little_red_dynamite/Australscope)

Seorang bekas guru mendedahkan bahawa dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 28 kilogram dan bebas Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) selepas mengamalkan diet sihat dan senaman.

Ketika berusia 31 tahun, Scarlett Harvey yang berasal dari England pernah mempunyai berat badan sebanyak 82 kilogram pada 2018 menyebabkan dia kurang selesa dan hilang keyakinan diri.

Dia juga mencuba pelbagai diet termasuk mengurangkan pengambilan karbohidrat selain gagal beberapa kali dalam percubaan mengubah saiz badan kerana tidak konsisten.

Sejarah berat badannya itu sebenarnya bermula ketika zaman remaja apabila sering mengambil makanan tidak sihat dan dibuli di sekolah akibat berbadan besar.

Menurut Scarlett, dia nekad sejak tiga tahun lalu apabila mula bersenam di gimnasium dan mengikuti kelas tinju selama 30 minit setiap hari.

“Saya suka mengikuti kelas ini kerana ia kena dengan gaya hidup malah lokasi gimnasium agak dekat dengan rumah. Ia juga boleh menghilangkan tekanan. Saya berjaya menurunkan 6 kilogram dalam tempoh enam minggu,” katanya.

Pada Januari 2019, berat badannya turun 15 kilogram sebelum menyertai dan memenangi pertandingan bina badan di Dubai.

Mengenai pemakanan pula, Scarlett berkata, dia mengamalkan diet yang fleksibel iaitu makan apa saja yang digemari selagi ia memenuhi sasaran kalori dan pengambilan makro nutrien seperti ditetapkan oleh jurulatihnya.

“Saya tidak ada terlalu banyak keinginan untuk makan apa saja sebaliknya mengamalkan diet sihat dengan peraturan 90/10 iaitu, 90 untuk diet sihat manakala selebihnya untuk memenuhi keinginan saja.

“Saya suka menikmati oat yang dicampur dengan serbuk protein perisa strawberry dan air, coklat gelap, ikan salmon dimakan bersama nasi dan sayur bayam serta roti bersama pisang dan mentega kacang.

“Kadangkala, saya akan menikmati daging steak dan jika waktu cuti, saya akan membuat bebola daging, burger ayam sendiri, pizza dan cottage pie,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.