Industri pembedahan plastik berkembang musim Covid

Industri pembedahan plastik berkembang musim Covid

Ramai suntik muka untuk tampak muda di Zoom.

Ramai berlumba-lumba membuat temu janji untuk dapatkan suntikan kecantikan agar kelihatan lebih muda di hadapan skrin komputer. (Gambar Rawpixel)

Pembedahan plastik semakin popular ketika pandemik Covid-19 kerana orang ramai tidak yakin dengan imej diri di Zoom.

Industri pembedahan plastik dilaporkan semakin berkembang di Amerika Syarikat (AS) sejak berlakunya pandemik Covid-19 berikutan ramai yang ingin kelihatan menawan ketika mengadakan mesyuarat secara maya menerusi Zoom dan perkhidmatan web video lain.

Orang ramai berlumba-lumba membuat temu janji untuk mendapatkan suntikan Botox, suntikan bibir selain beberapa prosedur lain untuk menampakkan mereka lebih muda di hadapan skrin komputer.

“Kami terlalu sibuk. Apa yang kita lihat ramai orang apabila mengadakan mesyuarat di Zoom, mereka sepatutnya memberi perhatian terhadap perkara yang dibincangkan tetapi ia tidak berlaku.

“Sebaliknya, mereka hanya menghabiskan masa melihat diri sendiri dan mencari apa lagi yang boleh diubah. Sebab itu lebih ramai yang melihat diri mereka dan tertarik dengan imej sendiri,” kata doktor pembedahan plastik di Chicago, Dr Peter Gelder kepada FOX Business.

Salah satu sebab mengapa prosedur kosmetik semakin popular ketika ini ialah disebabkan lebih ramai bekerja dari rumah sekali gus membolehkan mereka memulihkan kulit tanpa perlu berdepan dengan orang ramai.

Pada masa sama, rutin baru yang banyak menghabiskan masa di rumah membolehkan mereka menyimpan wang yang biasa dihabiskan untuk hobi mahal seperti mengembara dan sebaliknya wang itu digunakan untuk menjaga kecantikan.

“Memandangkan orang ramai tidak banyak keluar rumah, mereka memanfaatkan masa itu untuk memulihkan kulit.

“Sama juga dengan pengubahsuaian rumah yang turut meningkat disebabkan ramai duduk di rumah,” kata doktor pembedahan plastik di New York, Dr Kevin Tehrani.

Katanya, antara prosedur yang mendapat tempat ialah membaiki struktur hidung dan leher.

Katanya, mereka juga lebih suka menjalani prosedur ringkas yang boleh dilakukan sekali saja berbanding beberapa sesi.

“Mereka tidak kisah jika terdapat kesan bengkak terlalu lama memandangkan ketika ini semua orang perlu memakai pelitup muka,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.