
Dengan kemudahan telefon pintar serta jaringan hubungan internet yang begitu laju, kiriman teks melalui mesej mahupun Whatsapp sering menjadi pilihan komunikasi yang lebih digemari berbanding bercakap melalui telefon.
Ini kerana kos menghantar mesej adalah jauh lebih murah dan juga percuma tanpa had berbanding daripada membuat panggilan melalui telefon.
Selain itu, percaya atau tidak, mesej juga mempunyai peranan dalam membantu dan juga merosakkan hubungan anda.
Bagaimana kiriman teks memberi kesan terhadap hubungan anda?
Aktiviti bermesej dalam perhubungan sememangnya mempunyai peranan tersendiri. Tidak dinafikan mesej sememangnya memberikan kedua-dua kesan positif dan negatif dalam perhubungan.
Walau bagaimanapun, timbul masalah apabila kiriman teks ini menjadi cara yang paling utama dalam berkomunikasi antara anda dan pasangan anda.
Mengapa ia menjadi masalah? Ini kerana seringkali berlakunya salah faham dan salah anggap akibat daripada penggunaan mesej sebagai medium komunikasi utama. Ia kemudiannya boleh menjejaskan hubungan antara anda dan pasangan.
Kesan menggunakan kiriman teks sebagai medium dalam perhubungan
1. Mesej boleh memperbaiki hubungan
Mesej dengan kandungan teks yang bersifat pujian, lucu atau komen yang positif boleh membuatkan pasangan berasa lebih selesa dan dekat dengan anda.
Mereka juga akan berasa lebih seronok dengan hubungan yang mereka miliki bersama anda.
2. Sexting boleh menimbulkan masalah dalam perhubungan
Jika anda berfikir bahawa dengan menghantar teks-teks seksi atau gambar lucah boleh menjadikan hubungan lebih hot, ternyata anda silap!
Terdapat satu kajian yang menunjukkan bahawa perhubungan yang melibatkan teks berunsur seks secara melampau akan mengalami lebih banyak konflik.
Kesilapan yang sering berlaku melalui mesej
Berikut merupakan antara kesilapan yang sering berlaku ketika bermesej bagi mereka yang sedang dalam perhubungan.
1. Menggunakan mesej sebagai medium utama untuk menyelesaikan masalah
Jika terdapat sebarang masalah atau konflik dalam perhubungan, cuba elakkan daripada menggunakan mesej teks bagi menyelesaikannya.
Ingat, mesej bukanlah alat untuk anda menyelesaikan masalah. Adalah lebih baik jika anda berjumpa secara berhadapan dengan pasangan bagi sebarang perbincangan.
Berkomunikasi secara bersemuka akan memberikan satu perbualan yang lebih bermakna kerana anda boleh melihat ekspresi wajah dan nada suara pasangan. Ini adalah satu perkara yang amat penting dalam satu komunikasi yang sihat antara kedua-dua belah pihak.
2. Bertanya terlalu banyak soalan
Jika anda bertanya 2 atau 3 soalan, ia adalah sesuatu yang normal dan memperlihatkan bahawa anda mempunyai minat terhadap pasangan.
Tetapi jika anda bertanya terlalu banyak soalan kepada pasangan, dia akan merasa seperti anda melakukan soal siasat ke atasnya.
Hadkan pertanyaan kerana anda masih mempunyai banyak masa untuk bertanya kepadanya.
3. Menghantar mesej ketika sedang marah
Jangan sesekali menghantar mesej ketika anda sedang berada dalam emosi yang tidak stabil seperti marah. Kemarahan cenderung membuatkan anda berfikiran cetek dan tidak berfikir dengan sebaiknya.
Setelah kemarahan reda, anda akan berasa menyesal mengenai apa yang dihantar melalui mesej.
4. Mesej pada waktu yang tidak sesuai
Anda perlu ingat untuk sentiasa menghormati waktu peribadi pasangan anda. Walaupun mesej boleh dibalas pada bila-bila masa, ini tidak bermakna anda boleh menghantar mesej tidak kira waktu.
Elakkan dari menghantar mesej pada waktu awal pagi atau lewat malam. Tunggu waktu yang sesuai untuk menghantar mesej.
Ini kerana jika anda menghantar mesej pada waktu tengah malam, tidak bermakna anda akan mendapat balasan mesej pada waktu itu juga.
Hormati pasangan jika anda ingin dihormati kerana masing-masing mempunyai kehidupan peribadi yang ingin dinikmati.
Anda tidak sama dengan pasangan anda
Walaupun mungkin anda menganggap bahawa anda mempunyai banyak persamaan dengan pasangan, ia sebenarnya berbeza daripada apa yang difikirkan.
Ambil contoh mudah dalam soal makanan. Anda mungkin menggemari masakan Jepun, tetapi tidak bagi pasangan anda.
Begitu juga dengan soal penghantaran mesej yang mana anda mungkin gemar membalas mesej dengan pantas, tetapi pasangan pula gemar membalas pada waktu yang lain.
Oleh itu, hormat-menghormati antara satu sama lain adalah amat penting dalam perhubungan.
Ikuti prinsip asas atau etika dalam bermesej supaya perhubungan dapat bertahan lama hingga ke akhir hayat.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]