
Pernahkah anda sedang berdiri tegak dan secara tiba-tiba berasa seperti sedang bergerak atau berpusing? Jaga-jaga, ia mungkin petanda anda mengalami kondisi yang bernama vertigo.
Vertigo adalah rasa tidak seimbang, sehingga anda merasa seperti sedang berputar dan pening. Ia boleh menjadi sangat parah dan membuatkan anda sukar melakukan aktiviti seharian. Vertigo boleh terjadi kepada semua golongan termasuklah kanak-kanak. Tetapi secara umumnya sering terjadi kepada individu berusia 65 tahun ke atas.
Apa yang lebih membimbangkan, individu yang terkena kondisi ini juga akan berasa kepala seperti digerakkan atau dipusingkan sekali gus menjadi tidak stabil ketika sedang berjalan atau berlari.
Walau ia bukanlah petanda masalah kesihatan yang serius namun, ia mungkin akan mendatangkan bahaya terutamanya jika ia berlaku kepada anak anda. Oleh itu, mari kita sama-sama ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai kondisi yang dinamakan sebagai vertigo.
Punca vertigo
Vertigo berlaku disebabkan gangguan keseimbangan dalam tubuh yang bergantung kepada sistem deria mata, saraf dan bahagian dalam telinga.
Gangguan pada dalam telinga membuatkan otak menerima isyarat yang tidak sesuai dengan apa yang diterima oleh mata dan saraf deria. Ini menjadikan otak mengalami kebingungan dan menjadikan anda merasa pening serta tidak seimbang.
Terdapat dua jenis vertigo iaitu vertigo peripheral dan central.
Vertigo peripheral merupakan jenis yang sering dialami oleh kebanyakan orang. Ia adalah kerana gangguan pada telinga dalam yang berfungsi untuk mengatur keseimbangan tubuh.
Vertigo jenis ini disebabkan oleh beberapa perkara iaitu Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV), Labirintitis, Vestibular neuronitis dan Meniere.
Gejala yang sering terjadi adalah mual, muntah, hilang keseimbangan, sakit kepala, kurang jelas dalam pendengaran, sakit telinga serta demam.
Vertigo central disebabkan oleh gangguan pada telinga dan organ keseimbangan. Ia terjadi akibat masalah pada bahagian otak iaitu cerebellum dan otak kecil.
Kondisi yang menyebabkan vertigo central ialah migrain, “multiple sclerosis”, neuroma akustik, tumor otak dan stok.
Punca lain:
- Peredaran darah yang lemah. Keadaan ini membuatkan jantung anda tidak cukup mengepam darah sampai ke otak atau bahagian dalam telinga, sehingga anda berasa pening, ingin pengsan dan rasa tidak seimbang.
- Tekanan darah rendah. Keadaan ini juga menyebabkan aliran darah dari jantung ke otak dan bahagian dalam telinga tersekat, sehingga anda mengalami pening dan lemas. Biasanya, anda mengalami keadaan ini jika berdiri terlalu cepat dari duduk atau berbaring.
- Gula darah rendah. Gula dalam darah berkurangan mungkin disebabkan kerana tiada pengambilan makanan ke dalam badan. Ini membuatkan anda berasa lemas, letih, dan pening. Ia juga boleh menyebabkan vertigo anda berulang.
Siapa yang mudah terdedah kepada vertigo?
Vertigo meningkat dengan peningkatan umur dan kira-kira dua hingga tiga kali lebih tinggi di kalangan wanita berbanding lelaki.
- Ia melibatkan 2.5% daripada penduduk umum.
- 1 daripada 5 orang dewasa yang terlibat.
- Gejala yang biasa bagi mereka yang melebihi 65 tahun (65%).
Gejala vertigo
- Rasa berpusing
- Pening
- Loya
- Muntah
- Ketidakseimbangan
- Penglihatan kabur
- Sukar berjalan
Cara rawatan:
1. Berehat
2. Melakukan senaman ringan.
3. Tidur dengan kepala sedikit terangkat atau tinggi.
4. Jangan terus bangun dari tidur. Duduk beberapa minit sebelum berdiri dari tempat tidur.
5. Menghindari garam, kafein, coklat, alcohol dan rokok.
6. Elak dari membongkok dan mendongak
7. Melakukan fisioterapi untuk mengatasi gangguan keseimbangan
8. Akupuntur
9. Terapi
Sekiranya kondisi anda menjadi teruk, berjumpalah dengan doktor untuk mendapat nasihat.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]