Malaysia perlu tukar kepada ekonomi ‘berlian’, kata pemimpin DAP

Malaysia perlu tukar kepada ekonomi ‘berlian’, kata pemimpin DAP

Liew Chin Tong berkata, kelas pertengahan yang besar boleh dibina dengan meningkatkan pendapatan, kemahiran, teknologi dan produktiviti rakyat.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong menunjukkan bentuk segi tiga sebagai simbolik ketidakseimbangan ekonomi di Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ekonomi Malaysia perlu ditukar daripada bentuk segi tiga ketika ini kepada berlian, pakar strategi DAP, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, wujud keperluan melakukan pembaharuan berhubung dasar itu yang digariskannya kepada pengundi dalam sesi bertemu rakyat di Johor Bahru malam ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu turut memuat naik gambar dirinya menunjukkan bentuk segi tiga beserta keterangan gambar: “Jangan bimbang, ini bukan simbol ‘nasi lemak’. Ini sebenarnya bentuk segi tiga simbolik kepada struktur masyarakat tidak seimbang disebabkan jurang antara miskin dan kaya.”

Liew berkata, ekonomi Malaysia berbentuk segi tiga, dengan segelintir golongan kaya di bahagian atas yang sempit, manakala majoriti golongan berpendapatan rendah di bahagian bawah yang lebih luas.

“Kita perlu menukar bentuk segi tiga kepada bentuk berlian, dengan membina masyarakat mengutamakan jaminan perlindungan ekonomi rakyat. Ini bermakna mewujudkan masyarakat kelas pertengahan yang kuat dan besar, dengan mengurangkan jumlah penduduk miskin menerusi usaha meningkatkan taraf hidup mereka.”

Beliau berkata, kelas pertengahan yang besar boleh dibina dengan meningkatkan pendapatan, kemahiran, teknologi dan produktiviti rakyat dalam semua latar belakang kehidupan.

Pengundi di Johor akan menunaikan tanggungjawab pada 12 Mac ini bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya negeri, di mana pengundi berusia 18 hingga 20 tahun layak mengundi buat julung kali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.