
Bagi menunjukkan sokongan kepada barisan hadapan kita, Galeri Seni Negara telah menjemput dua pelukis mural berbakat besar iaitu Abdul Rashade, 36 tahun dan Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, 29 tahun untuk melukis mural gergasi para pemimpin Malaysia dan petugas barisan hadapan yang berjuang menentang Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

Lukisan mural yang mula dihasilkan pada bulan September ini dibahagikan kepada dua bahagian.
Rashade menterjemah hasil sentuhannya dengan tajuk ‘Perasaan’ yang memfokuskan kepada wira-wira yang tidak didendang. Para wira barisan hadapan merenung kaku, ‘rider’ penghantar makanan, seorang ibu memandang wajah anaknya dengan penuh kasih sayang dan seorang wanita tua. Menurut Rashade, lukisan wanita tua itu adalah inspirasi dari arwah ibunya yang meninggal baru-baru ini.

Manakala, Dhiyaul pula memfokuskan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Menurut mereka, mural gergasi ini mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan dengan 40 tin cat semburan dan 5 tin cat untuk menyempurnakan keseluruhan mural tersebut. Mural sepenuhnya akan dapat dilihat pada 11 Oktober nanti.
Memulakan kerjaya sebagai pereka grafik, Rashade berkata, “Dahulu, saya bekerja di pejabat selama 8 hingga 10 tahun. Tetapi, saya rasa tiada kepuasan kerana hasil kerja saya amat terhad kepada permintaan pelanggan sahaja. Saya ingin mengembangkan bakat dalam bidang mural.”
Anak kelahiran Penang ini, kemudian memberanikan diri untuk berhenti pada 2013 dan menjadi artis mural sepenuh masa.

Anda boleh lihat hasil kerja kreatif Rashade di seluruh Malaysia dan di luar negara seperti Dubai, Taiwan, Hong Kong, Singapore dan Jakarta.
“Signature saya adalah semi-abstract dan corak bunga. Ini boleh dilihat dari hasil mural saya. Malah, inilah mural Covid-19 pertama saya.” kata Rashade lagi.

Anda boleh lihat hasil seni Rashade di Instagram.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]