
Setelah beberapa bulan terperuk di rumah, akhirnya kerajaan mengumumkan peralihan Selangor ke Fasa 3 Rancangan Pemulihan Nasional. Sudah pasti ia khabar gembira buat segelintir yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Jadi apa kata kita jenguk lima destinasi Staycation atau cuti inap, aktiviti yang semakin popular dalam kalangan pelancong domestik baru-baru ini di sekitar Selangor, terutama pada hujung minggu.
Carpe Diem, Serendah
Carpe Diem, yang terletak di Bandar Serendah, adalah lokasi penginapan yang menawarkan gaya hidup desa. Carpe Diem adalah frasa Latin yang bermaksud “memberi yang terbaik”. Lokasi ini memberikan anda daya tarikan percutian kedesaan, juga lokasi yang sesuai untuk mengadakan sesi bina insan. Carpe Diem juga dikelilingi oleh kehijauan yang merimbun, sekali gus menawarkan persekitaran yang damai dan santai.
Sri Damai Resort, Kalumpang
Sri Damai Resort menyediakan penginapan mesra alam, dilengkapi dengan kolam renang untuk kanak-kanak di mana sumbernya datang dari sungai berhampiran. Ia turut menyediakan kolam memancing bagi mereka yang sukakan cabaran menaikkan spesies ikan seperti kelah dan baung. Pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan, seperti basikal air dan menunggang ATV juga terdapat di sini. Apa yang lebih menarik, sepanjang berada di sini, anda juga boleh berkunjung ke dusun buah-buahan tempatan, serta ladang rusa dan kambing yang terletak berhampiran.
Taman Eko Rimba Komanwel Resort, Rawang
Taman Eko Rimba Komanwel Resort terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Lagong, berhampiran jalan yang menuju ke Bandar Rawang. Oleh kerana ia cukup dikenali sebagai taman hutan, lokasi ini adalah destinasi deal untuk anda menikmati udara segar yang dikelilingi oleh kehijauan. Apa yang lebih menarik, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti sihat seperti berkayak, merentas hutan, berbasikal dan banyak lagi sambil merakam setiap keseronokan bersama orang tersayang. Ia pasti lokasi yang sempurna untuk anda menghabiskan hujung minggu anda dikelilingi oleh keindahan alam semula jadi.
Bonda Valley (Rumah Hutan Bonda), Batang Kali
Bonda Valley, adalah antara tarikan pelancongan di Daerah Hulu Selangor yang mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan dari Bandar Petaling Jaya. Ia menampilkan konsep rumah tradisional Melayu yang pasti memukau akan anda. Lokasi penginapan ini juga dikelilingi oleh hutan yang merimbun dan keindahan alam semula jadi. Bonda Valley juga luas, sekali gus menjadikannya lokasi indah untuk bersantai bersama keluarga dan rakan.
PulaiThree, Kuala Kubu Bharu
PulaiThree adalah destinasi percutian hujung minggu yang sempurna di Bandar Kuala Kubu Bharu, terletak di antara hutan hujan dan lereng bukit milik persendirian. Menampilkan reka bentuk konsep terbuka menghadap persekitaran sambil mengekalkan elemen kelestarian dan suasana yang sangat santai, villa dua bilik tidur ini menawarkan pemandangan yang memukau seperti gunung yang menghijau. Selain itu, PulaiThree juga mempunyai kolam renang dan dapur lengkap, dilengkapi dengan set barbeku. Ia pasti akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan kepada para tetamunya.
Apa yang pasti, setiap penginapan yang dipaparkan ini akan memenuhi keinginan anda untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan semestinya tanpa menjejaskan keselesaan. Jadi tekan butang “tempah” untuk satu pengalaman penginapan singkat yang sukar dilupakan!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]