
Tiga lagi pulau di Thailand mula dibuka kepada pelancong yang sudah divaksin pada Khamis walaupun negara itu mencatatkan lonjakan kes Covid-19 yang dicetuskan varian Delta.
Samui, Tao dan Phangan mula menerima kedatangan pelancong pada Khamis sebagai sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula industri pelancongan di negara itu yang teruk terjejas.
Pada 1 Julai lalu, Thailand memperkenalkan skim pelancongan ‘sandbox’, yang membenarkan pelancong yang telah divaksin berkunjung ke pulau Phuket. Pelancong juga tidak perlu menjalani kuarantin di hotel tetapi tidak dibenar meninggalkan Phuket selama dua minggu.
Di bawah inisiatif terbaharu itu, pelancong perlu tinggal di hotel yang dibenarkan di Samui selama seminggu dan boleh meninggalkan penginapan mereka pada hari keempat.
Sebahagian besar Thailand masih bergelut untuk mengekang penularan varian Delta, yang menurut pihak berkuasa menyumbang hampir 80% daripada jumlah kes di negara itu.
Thailand mencatatkan hampir 9,200 kes jangkitan dan merekodkan 98 kematian, angka harian tertinggi setakat ini.
Presiden Persatuan Pelancongan Koh Samui, Ratchaporn Poolsawadee menjelaskan permulaan skim ‘Samui Plus’ pada Khamis adalah sebagai pembukaan pengenalan.
Katanya, setakat ini sejumlah 75% penduduk di tiga pulau terbabit telah divaksinasi.
“Dijangkakan ketibaan pelancong akan lebih baik selepas mereka memahami undang-undang dan peraturannya. Sebahagian peraturan tersebut juga boleh disesuaikan,” kata Ratchaporn kepada FMT.
Ratchaporn berkata pelancongan membawa pulangan bernilai AS$918 juta kepada Samui sebelum dilanda wabak tersebut namun berkurang kepada AS$88 juta tahun lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]