
Colosseum adalah monumen seni bina bersejarah berusia 2,000 tahun yang menjadi nadi penting buat Itali apabila menerima kehadiran lebih enam juta pelancong pada setiap tahun.
Bagaimanapun kini, pengalaman pelancong sedikit berbeza apabila buat pertama kalinya mereka boleh melawat laluan bawah tanah di struktur tinggalan itu selepas projek baik pulihnya bernilai AS$30 juta (RM125 juta) baru saja disiapkan.
Laluan dikenali sebagai Hypogeum itu, berjaya ‘dihidupkan’ semula oleh lebih 80 ahli arkeologi, arkitek dan jurutera yang melakukan kerja baik pulih selama dua tahun.
Laluan sejauh 160 meter itu sudah dibuka kepada orang ramai yang boleh melihat sebahagian ruang arena yang sebelum ini ditutup kepada pelancong.
Satu ketika dulu, ia menempatkan kandang dan bilik untuk mengurung tahanan serta haiwan selain menjadi ruang menunggu untuk pahlawan sebelum keluar bertarung.
Projek itu adalah fasa kedua daripada tiga fasa projek yang dilaksanakan untuk memulihara Colosseum yang bermula sejak lapan tahun lalu.
“Ini adalah mengenai tarikan penting di Itali, iaitu sebuah monumen terkenal di seluruh dunia. Ia bukan sekadar hiburan tetapi juga perniagaan penting.
Jika dijaga dengan betul, ia tidak ada tandingan di tempat lain,” kata Pengerusi Tod, Diego della Valle daripada syarikat fesyen Itali yang membiayai projek baik pulih terbabit.
Substruktunya merangkumi sebuah sistem terowong dengan dua koridor utama yang disusun secara berselirat di bawah tanah.
Terowong itu juga menjadi laluan untuk masuk ke beberapa bangunan lain di luar Colosseum dan terdapat 36 pintu perangkap di seluruh arena yang memberikan kesan khas kepada penonton.
Fasa pertama projek baik bulih Colosseum itu membabitkan bahagian hadapan kompleks itu yang dilancarkan pada 2016.
Manakala fasa terakhirnya pula terdiri daripada pembaharuan semula galeri dan sistem cahaya serta mewujudkan sebuah pusat pelawat baru yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]