DBKL perkenal ‘scramble crossing’ ala Shibuya Crossing di Bukit Bintang

DBKL perkenal ‘scramble crossing’ ala Shibuya Crossing di Bukit Bintang

Lintasan pejalan kaki dikenali sebagai X-Crossing ini diwujudkan untuk mengoptimumkan jarak pejalan kaki di kawasan berkenaan.

DBKL perkenal lintasan pejalan kaki ala Shibuya Crossing di Bukit Bintang. (Gambar Facebook)

Geng kaki jalan yang pernah ke Jepun pasti mempunyai memori melalui lintasan pejalan kaki paling sibuk di dunia, Shibuya Crossing atau Lintasan Shibuya yang menjadi salah satu lokasi ikonik negara matahari terbit itu.

Ia begitu unik apabila orang ramai dapat merasai pengalaman berjalan menyeberangi ‘scramble crossing’ dalam lautan manusia sambil dikelilingi dengan paparan iklan digital gergasi.

Keunikan itu kini cuba dibawa ke Malaysia apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan lintasan ala Shibuya Crossing di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail yang baru saja dibuka Sabtu lalu.

Menurut DBKL, lintasan pejalan kaki yang diperkenalkan itu dilihat dapat mengoptimumkan jarak pejalan kaki di kawasan pejalan kaki dengan aliran trafik yang tinggi.

“Lintasan ini membolehkan pejalan kaki menyeberangi jalan dari semua arah. Kaedah ini diperkenalkan selepas kita melakukan kajian terperinci terhadap persimpangan dan kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah sempat meninjau ‘scramble crossing’ dikenali sebagai X-Crossing itu dan berpuas hati dengan kaedah baru yang dilaksanakan DBKL.

Beliau berharap ia dapat membantu mengatasi ‘kekeliruan’ pejalan kaki yang melintasi jalan terbabit sebelum ini.

Pada masa sama, Mahadi turut melihat keadaan laluan basikal, jalan, kemudahan serta pejalan kaki di Jalan Pinang, Jalan P Ramlee dan Jalan Bukit Bintang.

Tinjauan itu dilakukan beliau untuk melihat sendiri keadaan laluan terbabit dan mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan ekoran aduan diterima daripada orang ramai.

Beliau memberi jaminan bahawa kerja penambahbaikan itu akan dilaksanakan segera oleh DBKL dalam tempoh terdekat ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.