‘Jersey Devil’ roller coaster terjahat

‘Jersey Devil’ roller coaster terjahat

Roller coaster yang baru dibuka di New Jersey, AS, itu mempunyai ketinggian menyerupai bangunan 13 tingkat

Penumpang akan melalui pengalaman paling gila ketika menaiki Jersey Devil Coaster di New Jersey ini.

Sesuai dengan namanya, permainan roller coaster tertinggi dunia, Jersey Devil Coaster mungkin dianggap sebagai roller coaster paling ‘jahat’ apabila ia membawa penumpang menjunam dari ketinggian 40 meter.

Ketinggian yang menyerupai bangunan 13 tingkat itu pasti membuatkan jantung sesiapa saja gugur untuk menghabiskan seluruh laluan di rel roller coaster berkenaan.

Permainan terbaru di Six Flags Great Adventure, New Jersey, Amerika Syarikat itu dikatakan sebagai roller coaster paling tinggi, paling laju dan mempunyai rel tunggal terpanjang di dunia iaitu berukuran lebih 900 meter.

Bagi menimbulkan perasaan teruja, Six Flags turut berkongsi video pengalaman menaiki roller coaster yang berdurasi 1.11 minit di akaun Twitter mereka.

Tidak seperti roller coaster biasa, ia mempunyai tempat duduk tunggal dan setiap gerabak boleh memuatkan seramai 12 penumpang.

Sebaik berlepas dari landasan, penumpang terus dibawa mendaki ke puncak rel sebelum ia melakukan ‘terjunan’ pertama dengan kecuraman 87 darjah.

Menerusi saluran YouTube Coaster Studios, sekumpulan penggemar roller coaster turut berkongsi pengalaman mereka ketika dijemput bersama media dan VIP bagi mencuba permainan itu.

“Ia amat berbeza dengan beberapa tarikan lain di sini. Saya amat menyukai seluruh pengalaman menaiki roller coaster ini.

“Namun, saya akui pengalaman menaiki permainan ini terlalu gila. Ia amat dinamik apabila ia tidak berhenti begitu lama untuk melakukan terjunan seterusnya,” katanya.

Walaupun paling tinggi, tetapi Jersey Devil hanya diiktiraf dunia sebagai roller coaster yang mempunyai rel tunggal dan setakat ini pemegang rekod tertinggi dunia ialah roller coaster Kingda Ka.

Kingda Ka yang juga terletak di Six Flags mempunyai ketinggian 139 meter dan boleh meluncur dengan kelajuan sehingga 206 kilometer sejam (km/j).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.