Masjid Taksim, mercu tanda terbaru di Istanbul

Masjid Taksim, mercu tanda terbaru di Istanbul

Masjid ini didirikan di dataran yang sering dianggap sebagai simbol sekularisme Mustafa Kemal Ataturk.

Masjid Taksim dibina dengan kubah setinggi 30 meter. (Gambar AP)

Turki akhirnya berjaya merealisasikan hasrat lama untuk memiliki sebuah masjid baru sebagai simbol Islam di Dataran Taksim yang terletak di tengah-tengah bandar terbesar negara itu.

Masjid Taksim yang mempunyai kubah setinggi 30 meter itu dibuka secara rasmi oleh Presidennya, Recep Tayyip Erdogan sekaligus menjadi simbolik baru di dataran yang sering dianggap sebagai simbol sekularisme Mustafa Kemal Ataturk.

Selepas menunaikan solat Jumaat bersama ribuan jemaah, Erdogan menyifatkan masjid berkenaan sebagai gambaran impian umat Islam di sana dan azan akan kedengaran buat selama-lamanya.

Menurutnya, sebelum projek pembinaan masjid dimulakan empat tahun lalu, kawasan itu langsung tidak mempunyai bilik solat.

“Orang ramai menunaikan solat di sini hanya beralaskan kertas surat khabar,” katanya.

Kompleks masjid yang mempunyai dua menara tinggi itu berupaya memuatkan sehingga 4,000 jemaah selain dilengkapi dengan dewan pameran, sebuah perpustakaan, kawasan parkir serta dapur, lapor agensi berita Anadolu.

Masjid yang diperjuangkan pemimpin itu, mula dibina pada Februari 2017 selepas mencetuskan perdebatan oleh pengkritik dan menjadi perbalahan di mahkamah sejak beberapa dekad lalu.

Satu rakaman video yang dikongsi pihak berkuasa Turki di Twitter, memaparkan Erdogan ketika tahun pertamanya menjadi datuk Bandar Istanbul pada tahun 1994.

Sambil berada di atas sebuah bangunan, dia menunjukkan jarinya ke arah kawasan yang akan menjadi lokasi masjid baru itu dan hari ini, hasrat itu berjaya dipenuhi.

Projek itu adalah salah satu daripada mercu tanda yang dibina sepanjang pemerintahannya termasuk sebuah masjid yang terletak di kawasan puncak bukit.

Tahun lalu, beliau menukar status muzium Haghia Sophia yang terkenal di Istanbul itu sebagai masjid.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.