Landmark Alpha jadi tumpuan penggemar aktiviti ekstrem

Landmark Alpha jadi tumpuan penggemar aktiviti ekstrem

Taman pengembaraan di Menara Canton setinggi 600 meter ini menguji keberanian pengunjung berada di tempat tinggi.

Seorang penggemar aktiviti lasak cuba berjalan di atas tali kabel yang tergantung pada ketinggian hingga 298 meter.

Kita mungkin berasa ‘kecut perut’ setiap kali membayangkan berada di tempat tinggi namun bagi sekumpulan penggemar aktiviti lasak di China, ia memberi satu kepuasan terbaik yang sukar diperolehi.

Salah satu lokasi terbaru yang menjadi tumpuan pelancong di Guangzhou sejak awal tahun ini ialah ‘Landmark Alpha’, iaitu sebuah taman pengembaraan yang dibuka di Menara Canton setinggi 600 meter.

Projek bernilai $12.5 juta (RM51.6 juta) yang dibuka pada Januari lalu itu menawarkan aktiviti ekstrem pada ketinggian antara 198 meter hingga 298 meter.

Hanya mereka yang benar-benar berani saja boleh mencuba pengalaman itu termasuk berjalan di atas tali kabel, berjalan menuruni terowong tali yang digantung setinggi empat tingkat serta duduk di dalam bakul sambil tergantung pada ketinggian 58 tingkat.

Pada masa sama, pengunjung boleh menikmati pemandangan panorama indah bandar yang terletak di sepanjang Pearl River itu dari puncak menara televisyen tertinggi China berkenaan.

Bagi setiap aktiviti, pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak $108 (RM446) setiap seorang.

“Saya tidak pernah merasai pengalaman seperti ini di mana-mana sebelum ini.

“Saya datang ke sini semata-mata ingin menguji keberanian sendiri dan melakukan sesuatu yang baru,” kata seorang pengunjung, Peng Xin selepas menghabiskan cabaran dari tingkat 33 yang terletak pada ketinggian 198 meter.

Setiap pengunjung yang lengkap mengenakan topi keledar keselamatan dan abah-abah, akan dibimbing oleh seorang jurulatih yang memberi arahan untuk melakukan setiap cabaran dalam aktiviti ekstrem itu.

“Jurulatih itu memberi arahan yang amat terperinci. Langkah keselamatan yang diambil juga amat bagus bagi membolehkan kami semua menikmati aktiviti ini dengan selamat,” kata seorang lagi pengunjung, Li.

Pembukaan taman pengembaraan terbaru itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila menerima kehadiran kira-kira 300 orang pada hari cuti.

Bagaimanapun, bukan semua yang mempunyai keberanian untuk menghabiskan cabaran disediakan di situ.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.