
Hasrat penduduk New York untuk memiliki satu mercu tanda pelancongan luar biasa di bandar itu hampir menjadi realiti selepas pihak berkuasa memberikan lampu hijau untuk projek pembinaannya.
Kolam renang awam bersaiz Olimpik yang terapung di East River adalah projek terbaru yang dinantikan mereka selepas lebih 10 tahun berkempen dan mengumpul sumbangan daripada orang ramai.
Idea pembinaannya tercetus pada 2010 sebagai kolaborasi antara firma rekaan, PlayLab dan pengasas bersama firma seni bina berpangkalan di New York, Family.
Menurut penganjur projek itu, kolam dengan 285,500 gelen air berkenaan diberi nama ‘+ Pool’ disebabkan bentuknya seperti simbol tambah (+).
Kolam yang dilengkapi dengan teknologi penapisan akan menjadikannya lebih selamat untuk berenang sekali gus membersihkan keadaan sekitar sungai.
Penganjur itu berkata, pembinaan kolam terbabit berupaya membersihkan kira-kira 600,000 gelen air sungai pada setiap hari.
Ia bukan sekadar kolam renang biasa tetapi mempunyai empat fungsi untuk digunakan oleh kanak-kanak, bersukan serta bagi tujuan riadah.
Projek ini mampu menampung kehadiran sehingga 300 orang pada satu-satu masa dan secara keseluruhannya boleh menerima 1,800 orang pengunjung setiap hari.
Sebelum ini, beberapa pereka mendapatkan rundingan daripada jurutera dan arkitek laut untuk menambah baik rekaan projek terbabit sambil menarik sokongan beberapa selebriti terkenal seperti Kanye West dan pelakon, Neil Patrick Harris.
Calon datuk bandar New York, Andrew Yang juga menjadikan + Pool itu sebagai polisinya dan berikrar untuk mewujudkan sebuah kolam awam mempunyai sistem penapisan sendiri dan terapung di bandar terbabit.
Pasukan yang mengendalikan projek itu dikatakan sudah melakukan ujian terhadap teknologi penapisan di Hudson River.
Bagaimanapun, penganjur masih lagi berusaha untuk mengumpul modal persendirian dan awam memandangkan projek itu dianggarkan menelan belanja lebih daripada $20 juta (RM82.8 juta).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]