Tiket penerbangan ‘tanpa destinasi’ habis terjual dalam 2 minit

Tiket penerbangan ‘tanpa destinasi’ habis terjual dalam 2 minit

Tiket ‘tanpa destinasi’ itu membawa penumpang melihat fenomena Supermoon dan gerhana bulan dijangka muncul pada 26 Mei nanti

Qantas cuba menarik semula pelanggannya dengan menawarkan tiket ‘tanpa destinasi’.

Syarikat penerbangan Australia, Qantas mencipta rekod baru apabila tawaran tiket penerbangan ‘tanpa destinasi’ mereka habis terjual dalam tempoh dua minit saja.

Awal minggu ini, Qantas mengumumkan penerbangan istimewa itu untuk menyaksikan fenomena Supermoon dan gerhana bulan yang dijangka berlaku pada 26 Mei ini.

Ia bagi memberi peluang kepada penumpang melihat pemandangan menakjubkan itu dengan menaiki pesawat Boeing 787 Dreamliner selain cuba menarik semula minat orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan Qantas.

Menerusi sistem atas talian, semua tiket penerbangan itu berjaya dijual dalam tempoh singkat pada Rabu lalu dengan harga $499 (RM1,592) bagi kelas ekonomi, $899 (RM2,869) untuk ekonomi premium dan $1,499 (RM4,784) bagi kelas perniagaan.

Penumpang bertuah itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Sydney dan dibawa menaiki penerbangan pada ketinggian 13,106 meter untuk menyaksikan fenomena menakjubkan berkenaan.

Juruterbang Qantas, Kapten Alex Passerini juga bekerjasama dengan CSIRO untuk membangunkan laluan penerbangan melintasi Kepulauan Pasifik bagi melihat fenomena Supermoon.

“Bulan itu berada kira-kira 384,000 kilometer jauhnya tetapi kita akan berada 12 kilometer lebih dekat iaitu kira-kira 12,192 meter.

“Kami bekerjasama dengan CSRO untuk membangunkan laluan penerbangan yang boleh memberi pemandangan terbaik selain memastikan waktunya juga tepat,” katanya.

Fenomena Supermoon berlaku apabila bulan berada lebih dekat dengan bumi dan kejadian pada 26 Mei nanti adalah kejadian kedua dan terakhir yang boleh disaksikan pada tahun ini selepas Supermoon Pink pada 27 April lalu.

Fenomena kali ini dianggap lebih luar biasa apabila berlaku serentak bersama gerhana bulan dan kedudukan bulan dijangka akan berada pada jarak paling dekat iaitu 357,311 kilometer.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.