Sejarah lemang, makanan wajib Hari Raya

Sejarah lemang, makanan wajib Hari Raya

Lemang lebih dianggap sebagai makanan yang melambangkan kemeriahan dan hubungan silaturahim antara sesama manusia.

Selain ketupat, lemang turut menjadi makanan wajib semasa Hari Raya. (Gambar travelswithsheila.com)

Sejarah lemang adalah suatu yang misteri bagi masyarakat Malaysia, tetapi ia semestinya makanan yang sukar untuk ditolak lebih-lebih lagi di pagi Aidilfitri.

Selain makanan tradisi masyarakat Melayu untuk Hari Raya dan juga sering dimasak ketika perayaan seperti Hari Gawai.

Lemang lebih dianggap sebagai makanan yang melambangkan kemeriahan dan hubungan silaturahim antara sesama manusia.

Ini kerana lemang bukanlah makanan biasa yang mudah dimasak kerana ia memerlukan teknik dan cara yang tepat. Oleh itu, sifat saling membantu dalam pembuatannya amat penting dalam mendapatkan rasa dan tekstur yang memuaskan.

Di dalam sebatang lemang, jumlah tenaga yang terkandung di dalamnya dianggarkan sebanyak 3,778 kalori dan lemang juga tidak mengandungi dietari fiber.

Selain itu, di dalam sebatang lemang, terdapat vitamin A yang bagus untuk tumbesaran, kalsium yang memberikan kekuatan kepada tulang dan zat besi yang bertindak sebagai bahan yang memproses protein di dalam badan kita.

Sejarah lemang di Malaysia

Makanan yang boleh didapati di seluruh Malaysia ini dipercayai sudah menjadi makanan utama sejak 1864 lagi.

Lemang di Malaysia dipercayai berasal daripada orang asli Malaysia yang menggunakan lemang sebagai makanan utama mereka. Ianya dikatakan berasal dari orang asli di Kelantan yang dipanggil orang asli Negrito.

Orang asli Negrito atau dikenali juga sebagai Orang Semang merupakan penduduk yang terawal di Kepulauan Melayu.

Sejarah mengatakan Orang Semang sudah wujud sejak 1000 SM dengan bukti penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Selain di Kelantan, Orang Negrito juga mendiami Borneo, Sarawak. Penerokaan ini dinyatakan oleh pedagang British suatu ketika dahulu.

Sejarah lemang di Nusantara

Asal usul lemang bukan hanya dari Tanah Melayu tetapi di Indonesia juga mempunyai cerita dan sejarah lemang tersendiri.

Indonesia mempunyai pelbagai kumpulan etnik yang mengamalkan budaya berbeza kerana terdapat pengaruh budaya dari luar seperti budaya Melayu.

Budaya Melayu tersebar luas di Indonesia terutamanya di Sumatera dan Borneo. Budaya Melayu telah mempengaruhi budaya Indonesia dalam pelbagai aspek terutama sekali dari segi makanan.

Salah satu hidangan yang diadaptasi daripada budaya Melayu dan dijadikan sebagai sebahagian daripada makanan keraian Indonesia ialah lemang.

Beberapa daerah di Indonesia menyediakan lemang dalam upacara-upacara tradisi seperti di Bengkulu, Jambi, Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Borneo Selatan.

Walaupun setiap daerah menggunakan kaedah yang sama untuk memasak, mereka mempunyai fungsi, penggunaan dan sebab mengapa mereka menggunakan lemang.

Di Indonesia, memasak lemang dianggap aktiviti merapatkan hubungan silaturrahim kerana mereka menggunakan cara tradisional yang memerlukan tenaga dan masa yang banyak.

Walaubagaimanapun, kaedah tradisional untuk memasak lemang mengambil masa yang lama dan kualiti lemang tidak boleh dijangka kerana untuk mendapatkan kualiti yang baik, mereka hendaklah mempunyai skill yang baik dalam mengawal api yang digunakan.

Bahan-bahan lemang

Beras pulut yang sudah dibersihkan dimasukkan ke dalam buluh lemang. (Gambar wego.co.id)

Bahan-bahan mentah yang digunakan untuk memasak lemang termasuklah beras pulut, santan, garam, daun pisang, dan juga bahan yang paling penting sekali, buluh.

Bahan-bahan ini perlu dimasukkan secara berperingkat kerana buluh berbentuk silinder dan mempunyai ruang yang kecil. Buluh juga memainkan peranan penting dalam memudahkan proses memasak.

Jika menggunakan cara tradisional untuk memasak lemang, perlu memilih buluh yang nipis dan bukan yang tebal kerana buluh yang nipis lebih cepat masak dan mudah menyerap haba berbanding dengan buluh tebal yang kemungkinan mengambil masa berjam-jam dan tidak mustahil boleh mencapai jangka masa memasak selama sehari!

Sebelum memasukkan bahan-bahan asas, buluh haruslah dibersihkan. Kemudian, daun pisang dipotong mengikut bentuk silinder dan dimasukkan ke dalam buluh. Seterusnya, beras pulut dimasukkan, diikuti dengan garam yang sudah digaulkan dengan santan. Santan digunakan di dalam lemang bagi mewujudkan rasa lemak yang menyelerakan.

Lemang boleh dinikmati bersama-sama hidangan sampingan lain seperti rendang, kuah kacang, ayam masak merah, lodeh, serunding dan macam-macam lagi! Lemang sama seperti nasi, anda boleh menikmatinya dengan pelbagai jenis lauk dan ia juga mengenyangkan kerana lemang diperbuat daripada beras pulut yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi.

Jenis-jenis lemang

Lemang boleh didapati dalam pelbagai jenis seperti:

1. Lemang yang biasa kita makan iaitu lemang yang menggunakan beras pulut biasa berwarna putih dan menggunakan bahan-bahan mentah asas tanpa bahan tambahan.

2. Lemang pulut hitam yang mempunyai resepi sama dengan lemang biasa, cuma perbezaannya ialah jenis beras pulut yang digunakan ialah beras pulut hitam. Apabila dimasak, warna lemang akan menjadi hitam tetapi rasanya tidak begitu ketara dengan rasa lemang biasa.

3. Lemang jagung menggunakan bahan yang sama seperti lemang biasa, cuma perbezaannya ialah tambahan jagung yang menambahkan rasa manis di dalam lemang. Warna dan tekstur lemang juga akan kelihatan sedikit berbeza kerana beras pulut dicampur dengan jagung. Selain jagung, boleh juga digantikan dengan bahan lain mengikut kesukaan, contohnya durian atau nanas.

Lemang jagung antara yang diolah menjadi pilihan ramai. (Gambar orangkecilorangbesar.blogspot.)

Cara memasak lemang

Lemang mempunyai dua cara masakan, yang pertama ialah cara tradisional dan yang kedua ialah cara moden.

1. Cara tradisional memerlukan tenaga dan masa yang banyak, ini kerana ia perlu dipantau setiap minit dan dikawal apinya supaya lemang-lemang yang dimasak tidak terlalu masak (yang boleh bertukar menjadi hangus) atau terlalu mentah.

Lemang yang dimasak menggunakan cara masak tradisional haruslah mempunyai dua bahan yang utama iaitu langgai dan api.

Cara tradisi yang masih digunakan dengan menggunakan langai. (Gambar Kredit: beritadaerah.co.id)

Langgai digunakan untuk mendirikan lemang-lemang dan kedudukan lemang-lemang tersebut haruslah strategik supaya semua bahagian lemang dikenakan api yang membuatkan ia mudah dan cepat masak. Arang diletakkan di bawah langgai dan kemudiannya, api dipasang.

2. Cara moden yang digunakan di dalam pembuatan lemang ini lebih mudah dan tidak memakan masa yang lama dalam proses menunggu lemang masak.

Mesin yang dinamakan Mesin Memasak Lemang direka oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) ini tidak mewajibkan anda menggunakan buluh dan api untuk memasak lemang. Buluh yang digunakan untuk memasak lemang digantikan dengan silinder keluli tahan karat.

Proses memasak kemudiannya dijalankan menggunakan ketuhar dengan suhu 160 darjah selsius dan dimasak dalam masa 2 jam sahaja. Jika dibandingkan dengan cara memasak tradisional, lemang yang dimasak dengan cara moden lebih berkualiti kerana ia masak dengan sekata.

3. Cara ketiga ialah yang terkini digunakan oleh kebanyakan orang iaitu dengan menggunakan Tong Drum. Kaedah ini dikatakan lebih mudah dan cepat dimasak.

Menggunakan tong drum, kaedah terbaharu digunakan yang lebih mudah dan cepat. (Gambar Feeza)

Apabila menggunakan tong drum, kadar nyalaan api bersesuaian boleh ditetapkan dan ini membolehkan lemang dimasak dengan lebih cepat.

Setiap tong juga mampu memuatkan sehingga 30 batang dan jika memilih buluh yang nipis dan betul, lemang boleh masak dalam masa 30 minit sahaja.

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.