
Selalunya dalam meraikan sebarang perayaan, dekorasi di pusat membeli-belah sering menjadi tumpuan pengunjung. Di Selangor, beberapa pusat membeli-belah sedia menyambut Aidilfitri dengan menghias dekorasi Hari Raya di premis masing-masing.
Anda mungkin dapat menikmati keindahan ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dengan mematuhi SOP. Mari kita lihat dekorasi di lapan pusat beli-belah ini, semoga ianya dapat menceriakan Aidilfitri anda.
1. Paradigm Mall
Orang ramai yang mengunjungi Paradigm Mall pasti tertarik dengan dekorasi bertemakan sawah padi di pusat beli belah ini.
Walaupun tidak dapat pulang ke kampung, anda masih boleh menikmati pengalaman seperti berada di kampung selain boleh mendapatkan barang keperluan sempena Aidilfitri.
Pada masa sama, pengunjung juga boleh membuat amal kebajikan dengan mendermakan pakaian terpakai yang masih elok dengan meletakkan di tong sumbangan terletak di Upper Atrium, Level UG.
Semua pakaian ini akan digunakan oleh Komuniti Tukang Jahit bagi menghasilkan patung untuk diberikan kepada kanak-kanak oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Sumbangan wang tunai turut dialu-alukan. Anda boleh merujuk Kaunter Concierge, Level G untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selain itu pengunjung boleh membeli pelbagai barangan dijual oleh Vendor Raya di UG.
Terdapat pelbagai produk seperti kek, biskut, kurma, hamper, peralatan memasak, baju raya dan banyak lagi.
2. Sunway Pyramid

Jangan lupa singgah ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Sunway Pyramid nanti. Nikmatilah suasana ceria yang disediakan di sini dengan pelbagai aktiviti, hadiah eksklusif dan pelbagai promosi menarik menjelang perayaan Aidilfitri.
Rindu terhadap kampung halaman pasti terubat dengan mengunjungi R&R yang terletak di LG2 Orange Concourse di pusat beli-belah ini yang bermula 16 April hingga 30 Mei.
Nikmatilah kemeriahannya dengan tawaran hebat di musim perayaan! Anda boleh mendapatkan pelbagai barangan kelengkapan Aidilfitri serta berbuka puasa di lebih 120 restoran halal, tebus hadiah dan rebut peluang untuk memenangi sebuah Proton X70.
3. 1 Utama Shopping Centre

Sebaik melangkah ke pusat beli-belah ini, anda disambut dengan Rumah Tradisional Melaka setinggi 10 meter yang terkenal dengan Tangga Melaka.
Dekorasi ini memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman balik kampung.
Jangan lupa untuk singgah dan bergambar sambil melihat keindahan 12 reka bentuk tangga berwarna-warni pada rumah tradisional itu.
4. IOI City Mall

IOI City Mall membawakan suasana balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini yang bakal disambut beberapa hari lagi.
Walaupun sekali lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang di kampung halaman, suasana di sini boleh mengubat kerinduan terhadap mereka.
Jangan lepaskan peluang menikmati kemeriahan dekorasi Raya di IOI City Mall yang bertemakan Aidilfitri Sepanjang Zaman.
5. Setia City Mall

Bermula 16 April hingga 30 Mei ini, jangan ketinggalan untuk mengunjungi Centre Court dan merasai pengalaman berada di Kampung Batik gaya kampung tradisional yang dihiasi dengan pelbagai corak berwarna-warni.
Apa yang menariknya di sini ialah terdapat hiasan dinding batik interaktif yang cantik.
6. Main Place Mall, USJ

Sempena Aidilfitri tidak lama lagi, pusat beli-belah ini menjemput anda bersama orang tersayang untuk mengunjungi Taman Manny.
Anda akan terpukau melihat hiasan bunga mekar dan jika bernasib baik, anda akan terjumpa dengan rakan Manny yang bersembunyi di sebalik taman.
Marilah bersama-sama meraikan kemeriahan Syawal yang bakal menjelang tiba dan paling penting, jangan lupa patuhi SOP.
7. Da Men Mall, USJ

Da Men USJ membawakan tema Muhibbah Mesra Raya pada kali ini untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan di seluruh rakyat Malaysia menerusi dekorasi indah, makanan enak serta pelbagai aktiviti menarik sempena musim perayaan ini.
8. IOI Mall Puchong

IOI Mall Puchong mengembalikan nostalgia Ramadan dan Raya pada kali ini dengan dekorasi rumah kampung yang dihiasi lampu berwarna-warni dan ayam di North Court.
Marilah kita mengenang kembali suasana meriah yang sering dirasai setiap kali pulang ke kampung memandangkan rakyat sekali lagi tidak dapat pulang beraya pada kali ini.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel
Tourism Selangor adalah cabang pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri Selangor. Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara serta banyak lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]