“Visit Badrashin!” bawa pelancong melawat kehidupan tradisional penduduk di Mesir

“Visit Badrashin!” bawa pelancong melawat kehidupan tradisional penduduk di Mesir

Pelancong dibawa melihat sendiri cara hidup penduduk tempatan dan mendapatkan pelbagai hasil kraftangan di situ.

Seorang pelancong mengambil gambar makanan tradisional dihidangkan penduduk tempatan di Saqqara. (Gambar Reuters)

Lazimnya, kumpulan pelancong berkunjung ke Mesir kerana ingin melihat ketakjuban Piramid Giza semata-mata namun, kali ini mereka berpeluang melihat kehidupan tradisional masyarakat luar bandar berhampiran lokasi purba itu.

Pelancong akan dibawa menelusuri sebidang tanah yang dipenuhi dengan pokok palma di sepanjang selatan Piramid Giza antara Piramid Saqqara dan Dahshur serta tebing Sungai Nil.

Menerusi lawatan itu, mereka boleh melihat secara dekat aktiviti penduduk tempatan yang menjadi sebahagian projek pelancongan lestari, “Visit Badrashin!” dibiayai oleh Kesatuan Eropah.

“Ketika berkunjung ke sini, mereka akan melewati kawasan terdiri daripada masyarakat petani, menikmati secawan teh di ladang, membeli barangan kraftangan atau menikmati makanan tradisional bersama mereka,” kata pakar pelancongan projek berkenaan, Heba Ragab.

Projek itu membabitkan beberapa perkampungan di Saqqara, Abu Sir dan Dahshur yang terletak di daerah Badrashin.

Lebih menarik lagi apabila penduduk diberi latihan secukupnya bagi menyediakan mereka kemahiran untuk menyambut kedatangan pelancong sekali gus menjana pendapatan menerusi aktiviti itu.

“Mereka melatih saya bagaimana untuk berdepan dengan pelancong. Selama ini kami tidak menerima kedatangan pelancong ke sini. Kini saya seperti juru pandu pelancong tempatan,” kata seorang penduduk, Mohamad Hamdy, 31.

Walaupun pandemik Covid-19 menyebabkan bilangan pelancong ke Mesir turun mendadak dan aktiviti dikurangkan, namun mereka tetap kunjungan pelawat tetap diteruskan.

Baru-baru ini, sekumpulan kecil pelancong mengikuti lawatan ke kompleks Saqqara sebelum dibawa melalui pengalaman berbuka puasa secara tradisional di perkampungan terbabit.

Mereka berpeluang melihat penduduk menyediakan makanan termasuk membakar roti, memanggang ayam untuk dihidangkan selain menikmati teh pudina.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.