Anak jati Kedah buka Kedai Mamak di New Zealand

Anak jati Kedah buka Kedai Mamak di New Zealand

Pemiliknya, Robin Annadass menghidangkan makanan popular Malaysia pada harga berpatutan kepada penduduk dan rakyat Malaysia di Auckland.

Pasangan suami isteri, Robin Annadass dan Amanda Annie. (Gambar Robin Annadass)

Petaling Jaya: Ketika ‘Kedai Mamak’ mula dibuka di New Zealand pada April lalu, ia terus menjadi buruan pelanggan yang tercari-cari makanan popular Malaysia iaitu nasi lemak dan roti canai.

“Sebenarnya saya bukanlah seorang tukang masak,” kata pemiliknya, Robin Annadas yang mengakui kemahiran pertama dipelajari ketika membesar di Kedah adalah menjadi seorang tukang gunting.

“Saya berusia 16 tahun ketika seorang rakan menarik minat saya terhadap seni menggunting rambut,” kata lelaki berusia 30 tahun yang turut memiliki kedai gunting, Cut & Style di Auckland.

Orang ramai berbaris panjang untuk menikmati makanan yang dihidangkan di Kedai Mamak. (Gambar Robin Annadas)

Namun, siapa sangka, kemahiran itu bukan satu-satunya kualiti yang menarik perhatian rakyat Malaysia dan New Zealand di sana apabila perniagaan makanan Malaysia, Kedai Mamak miliknya turut menjadi bualan.

Terletak di Three Kings Plaza, Kedai Mamak ini terkenal dengan sarapan dan hidangan tengah hari popular Malaysia seperti nasi lemak, roti canai bersama kari dal, mi goreng serta teh tarik.

“Di Kedah, ibu mengusahakan restoran makanan India. Sejak kecil lagi saya terpegun melihatnya memasak pelbagai hidangan di restoran,” katanya yang turut mempelajari mengendalikan kedai makan ketika membantu ibunya.

Setiap hidangan di Kedai Mamak dihasilkan menerusi resepi ibunya sendiri.

Robin cuba mengenakan harga yang rendah bagi memastikan setiap pelanggan boleh menikmati makanan Malaysia. (Gambar Robin Annadass)

Menurut Robin, roti canai yang dijual di Malaysia hanya berharga RM2 tetapi di New Zealand pula ia dijual pada harga $12 (RM35) sepinggan.

“Kami ingin menyediakan makanan Malaysia dengan harga berpatutan kepada rakyat Malaysia di sini yang terlalu rindukan kampung halaman selain memberi peluang kepada rakyat New Zealand untuk mencubanya,” katanya.

Di Kedai Mamak, anda boleh menikmati sepinggan bihun goreng atau kuey tiaw goreng dengan harga serendah $4.99 (RM14.70) sepinggan.

Sepinggan nasi lemak hanya berharga $6.99 (RM20.60) (Gambar Robin Annadass)

Jika anda terlalu rindukan kampung halaman dan teringin untuk menikmati nasi lemak, anda hanya perlu menambah $2 (RM5.90) untuk menikmatinya atau dua keping roti canai bersama kari dal dan sambal.

Menurut Robin, anda tidak akan menemui restoran makanan Malaysia lain di sana dan Kedai Mamak adalah yang pertama menghidangkan sarapan dan hidangan tengah hari seperti itu di New Zealand.

Hidangan sarapan terkenal di Kedai Mamak, roti canai bersama kari dal dan sambal. (Gambar oleh Robin Annadass)

Sebaik pelanggan mula reda pada jam 11 pagi, Robin dan pasukannya bertungkus lumus menyiapkan hidangan tengah hari pula dengan menyediakan nasi campur dengan beberapa lauk seperti kari, sayur goreng dan sambal.

Antara lauk yang paling laris di kalangan pelanggannya adalah ayam goreng, ayam masak merah, kari ayam serta kari kambing.

Robin berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mencari bahan masakan kerana terdapat pasaraya yang menjual bahan masakan Malaysia termasuk daun pandan dan serai.

“Anda pasti tidak sangka bahawa orang New Zealand begitu berminat dengan rempah,” katanya.

Sepinggan bihun goreng hanya berharga $4.99 (RM14.70) (Gambar oleh Robin Annadass)

“Penduduk di sini pernah melancong ke Malaysia dan menjadi peminat makanan Malaysia. Malah kami turut mendapat permintaan untuk membuka cawangan di lokasi lain pula. Mungkin pada masa hadapan,” kata Robin.

Walaupun berpengalaman mengendalikan empat cawangan kedai gunting bersama 20 pekerja, lelaki berusia 30 tahun itu tidak menyangka perniagaan restoran menyebabkannya tidak menang tangan.

Pelanggan rakyat Malaysia tersenyum apabila dapat menikmati makanan di Kedai Mamak. (Gambar Robin Annadass)

“Mengendalikan perniagaan restoran adalah pengalaman berbeza buat sama dan kini saya memberi fokus terhadap Kedai Mamak. Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang hebat untuk mengendalikan perniagaan kedai gunting,” katanya.

Ketika ini, Kedai Mamak hanya menyediakan sarapan dan hidangan makan tengah hari bermula jam 7 pagi hingga 3 petang dan Robin berharap dapat menjadi sebuah restoran 24 jam seperti kedai mamak di Malaysia.

Anda boleh berkunjung ke Kedai Mamak yang terletak di 540 Mount Albert Rd, Three Kings, Auckland dan ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.