Dari terumbu karang hingga gunung yang memukau, Sabah miliki segalanya

Dari terumbu karang hingga gunung yang memukau, Sabah miliki segalanya

Sabah tempat percutian yang menawarkan pelbagai aktiviti dan lokasi indah untuk beristirehat.

Pulau Manukan hanya memakan masa 15 minit perjalanan dari Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU:
Sesuai dengan gelaran ‘negeri di bawah bayu’, Sabah adalah lokasi terbaik untuk berehat sejenak daripada kesibukan hidup di kota raya.

Sabah mempunyai segala-galanya, bermula daripada keindahan pantai dan lautan terbentang luas, terumbu karang yang mempersonakan, kawasan pergunungan terkenal serta kaya dengan keunikan flora dan fauna.

Dalam lawatan kerja lima hari ke negeri itu yang diatur oleh Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), krew FMT mendapati Sabah menawarkan pelbagai pilihan seni eksotik yang tidak dapat diperolehi di tempat lain.

Sabah terbahagi kepada pantai barat iaitu bahagian Kudat, Sandakan, Tawau serta bahagian pedalaman dan merangkumi daerah seperti Kota Kinabalu, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Penampang dan Papar.

Keindahan pantai barat

Aktiviti ‘island-hopping’ atau berkunjung ke beebrapa pulau di Taman Negara Tunku Abdul Rahman adalah aktiviti yang paling popular.

Menerusi perjalanan bot selama 15 minit dari Kota Kinabalu, lokasi pelancongan ini terdiri daripada lima pulau indah, Manukan, Sapi, Mamutik, Sulug dan Gaya yang dikelilingi oleh terumbu karang cantik serta hidupan laut.

Malah, pengalaman itu boleh dinikmati hanya berada di kawasan jeti memandangkan airnya begitu jernih dan membolehkan pelancong melihat hidupan laut dengan begitu jelas sekali.

Selain snorkeling, pelancong juga boleh memilih aktiviti mendaki atau lebih mencabar lagi, aktiviti parasailing.

Keindahan air laut yang jernih di Pulau Manukan.

Pulau Manukan terkenal dengan pasir pantainya yang putih selain pelbagai sukan air yang boleh disertai sepanjang hari.

Manakala tumpuan utama di Pulau Sapi pula ialah aktiviti terbang kelawar ke Gaya Island atau Coral Flyer.

Anda juga boleh mencuba aktiviti selam skuba dan snorkeling di lautan biru yang tenang atau meredah kehijauan hutan. Khemah juga disediakan untuk mereka yang suka kepada aktiviti luar dan keindahan kawasan pulau.

Pulau Sapi terkenal dengan aktiviti selam skuba dan snorkeling

Sementara itu, Pulau Sulung mempunyai kawasan pantai terpencil yang kaya dengan terumbu karang serta hidupan cangkerang.

Jika anak-anak anda kepenatan, boleh singgah di Rumah Terbalik di Tuaran. Mereka dapat merasakan pengalaman bagaimana berada dalam sebuah rumah terbalik dengan meja dan kerusi dalam keadaan tergantung serta ‘berjalan di atas siling’.

Terdapat juga aktiviti berakit di Kiulu, iaitu sebuah rumah ladang yang boleh dilawati selain berjalan di sekitar kawasan pantai untuk merehatkan minda.

Anda yang sukakan cabaran boleh ke Ranau untuk mendaki Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi Malaysia dengan ketinggian 4,095 meter. Pendakian selama dua hari di sini akan menjanjikan pengalaman melihat keindahan panorama matahari terbit.

Seorang lelaki tempatan memainkan muzik tradisional, Kulintang.

Beberapa lokasi pelancongan lain di Sabah termasuk Tugu Peringatan Perang Kundasang serta Taman Kinabali yang menempatkan 5,000 spesis tumbuhan. Terdapat juga taman teh Sabah, Kem Miki dan Kolam Air Panas Poring.

Apa lagi yang ingin dicari di sini?

Di Kota Belud pula terletaknya Pulau Mantanani yang kaya dengan hidupan laut dan anda juga berpeluang melihat cara pembuatan parang secara dekat di Kampung Siasai.

Pemandangan indah matahari terbit di Kudat

Di Kudat, anda boleh boleh menikmati keindahan alam sepenuhnya selain mengunjungi Floating Coral Bar, pusat kebudayaan dan Air Terjun Kota Marudu.

Pantai Karampunian juga adalah salah satu pilihan lokasi percutian terbaik untuk anda berehat di kawasan tenang sambil menikmati pemandangan dan keindahan pantainya.

Hidupan liar di Sandakan

Sepilok adalah pusat permuliharaan Orang Utan yang ditubuhkan pada 1964 dan di sebelahnya pula, terdapat Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo. Pulau Penyu pula memberi peluang anda melihat penyu mendarat.

Keindahan Semporna di Tawau

Sesuai dengan namanya, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesempurnaan pulau di sini.

Dengan lautan biru, cuaca dan langit yang cerah, ia menjadikan Semporna sebagai lokasi wajib dikunjungi oleh sesiapa saja yang mencari tempat terbaik untuk melakukan aktiviti selam.

Dikenali sebagai Segitiga Terumbu Karang, kawasan ini merangkumi lapan pulau yang menempatkan lebih 75 peratus spesis terumbu karang iaitu lebih separuh daripada terumbu dunia, 3,000 spesis ikan dan tujuh spesis penyu.

‘Survival’ di Pendalaman

Jika ke bahagian pedalaman, terdapat Pulau Tiga ‘Survival Island’ yang pernah menjadi lokasi penggambaran program realiti ‘Survivor’. Populariti rancangan itu menjadikan pulau ini sebagai lokasi tumpuan pelancong.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.