
Penggemar aktiviti mendaki pasti teruja dengan Maliau Basin atau Lembangan Maliau yang lebih sinonim dengan nama ‘The Lost World of Sabah’.
Lokasi terletak kira-kira 300 meter dari pusat bandar Sabah, mempunyai kawasan seluas 588 kilometer persegi dan ia juga kawasan Konservasi Kelas Pertama.
Ia bukan saja kaya dengan flora dan fauna yang menjadi tempat penyelidikan tetapi juga terkenal sebagai destinasi pelancongan.

Perjalanan dari Kota Kinabalu dengan menaiki pacuan empat roda ke Maliau Basin Centre memakan masa kira-kira lapan jam.
Perjalanan panjang itu menempuh beberapa daerah iaitu Penampang, Tambunan, Keningau, Sook, Nabawan, Sapulut sebelum tiba di pintu masuk utama pusat tersebut.
Keindahan khazanah alam semula jadi Maliau Basin yang dianggarkan berusia jutaan tahun itu pastinya menyimpan pelbagai kisah misteri.
Ia dilihat seakan sebuah dunia tersembunyi yang masih belum diteroka lagi.
Selain itu, di sini terdapat Air Terjun Maliau Basin yang terkenal dengan anak tangga tujuh tingkat dengan ketinggian 18 meter.
Meneroka kawasan air terjun itu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kegigihan untuk meredah hutan yang memakan masa selama empat hari tiga malam.

Menurut seorang kaki hiking, Alexion Mairin, 33, walaupun perjalanan menempuh hutan tebal dan bukit bakau amat mencabar namun dia amat teruja dengan keindahan air terjun yang memukau itu.
Dia yang telah berjaya menawan kesemua lima air terjun di Maliau Basin berpuas hati kerana telah berjaya menghabiskan ekspedisi selama empat hari tiga malam pada 30 Mac lalu.
“Perjalanan itu agak sukar dan mencabar ditambah dengan keadaan cuaca tidak menentu namun saya berpuas hati kerana berjaya menghabiskan ekspedisi tersebut, “katanya yang berasal dari Kampung Tompulan, Telipok.

“Saya bergerak seorang diri dari Kota Kinabalu ke Maliau Basin dan bertemu dengan peserta lain di sana. Saya bergerak sendirian memandangkan tidak ada seorang peserta pun yang dikenali.
“Seramai 20 peserta mengikuti ekspedisi ini yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan disertai juru pandu dan renjer hutan.
“Pada hari pertama, perjalanan bermula jam 7 pagi membabitkan sejauh sembilan kilometer dari Kem Agathis ke Kem Ginseng. Ia agak mencabar kerana laluan berbukit dan banyak pacat,” ujar Alexion yang telah membayar sebanyak RM650 untuk mengikuti ekspedisi tersebut.

Menurut Alexion, dia tiba di Kem Ginseng sekitar jam 5 petang pada hari sama sebelum menginap selama dua malam di situ dan keesokan harinya melawat pula Air Terjun Ginseng yang terletak 0.5 kilometer dari tempat penginapan.
Mereka meneruskan perjalanan sejauh 11 kilometer pada hari ketiga ke Air Terjun Maliau yang memakan masa sehari.
“Walaupun keadaan cuaca tidak menentu dan kepenatan, kami perlu meneruskan perjalanan untuk ke air terjun berkenaan yang jarang dikunjungi.
“Pada hari keempat pula, kami berjalan semula ke Kem Nephentes sejauh tujuh kilometer dan dalam perjalanan sempat melawat tiga lagi air terjun iaitu Air Terjun Giluk, Air Terjun Takob Akob dan Air Terjun Fowzi,” katanya.
Alexion berkata, pengalaman meredah hutan Maliau Basin itu begitu menyeronokkan dan pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan.
Keindahan alam semula jadi ‘The Lost World of Sabah’ sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apa tah lagi ketika berpeluang melihatnya secara dekat.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]