
Ketika dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19 ini, pertimbangan yang teliti perlu dibuat membuat sebelum memulakan sebarang perniagaan.
Bagaimanapun, bagi Sheryl Ong, keinginannya untuk memiliki sebuah restoran sendiri terlalu kuat sehingga mendorongnya mengharungi apa saja cabaran di hadapan.
Hasilnya, dia berjaya mewujudkan NyonyaLove, restoran berkonsep makanan Peranakan Melaka yang diusahakan bersama ibu, Irene Ho.
Terletak di Bandar Kinrara, restoran ini mudah dikunjungi sesiapa saja terutama apabila kemudahan parkir diberikan secara percuma oleh Pasaraya Giant berhampiran.

Sebaik melangkah masuk, pelanggan akan disambut dalam suasana yang amat selesa dengan hiasan berkonsep Peranakan di seluruh premis.
Manakala menunya pula mungkin nampak ringkas namun percayalah, ia amat berbaloi dengan setiap apa yang dibayar.
Ia juga sesuai untuk dikunjungi oleh pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama kerana statusnya ‘pork-free’ atau tidak menghidangkan daging khinzir.
Apa yang membezakan hidangan di NyonyaLove dengan restoran lain ialah masakannya benar-benar boleh menyentuh dan mengingatkan kita terhadap masakan di rumah.

Semua bahan masakan yang digunakan di restoran ini adalah segar dan berkualiti manakala sos dan pencicah juga dihasilkan sendiri.
Salah satu makanan enak yang boleh dinikmati di NyonyaLove ialah Laksa Lemak Nyonya iaitu hidangan pedas dan berlemak yang sukar ditolak.
Kuah santannya adalah daya penarik utama yang menyedapkan lagi hidangan didatangkan bersama mi dan udang segar ini.
Lebih enak apabila kuah itu dicampur dengan pes cili sebagai bahan penambah perisa.

Jika tidak mahu memilih nasi atau mi, NyonyaLove juga menyediakan pilihan lain iaitu roti jala bersama kari ayam.
Biarpun nampak ringkas, namun hidangan ini sebenarnya agak mengenyangkan terutama jika dicicah dengan kuah kari yang pekat.
Kuah karinya pula didatangkan bersama ketulan ayam yang banyak bersama ketulan kentang.
Sesiapa saja pasti berpuas hati menikmatinya dan ia boleh juga dicuba bersama acar.

Sekiranya benar-benar ingin mengisi perut, apa kata pilih hidangan klasik popular iaitu Nasi Lemak Ayam Rendang.
Jika datang ke sini, tidak rugi untuk anda mencuba keenakan makanan popular yang mendapat sentuhan Peranakan ini terutama apabila dihidangkan dengan nasi dan sambal.
Ayam rendang adalah hidangan utama di sini namun lebih unik lagi apabila ia turut dihidangkan bersama kangkung.
Turut disediakan juga menu istimewa yang hanya dijual bergantung kepada bahan dan ia bertukar pada setiap hari.

Sekiranya berpeluang, jangan lupa mencuba hidangan enak Ikan Tenggiri Cili Garam bersama nasi pada hari istimewa itu.
Hidangan ringkas dan sedap itu menggunakan ikan segar yang diperap dengan pes cili, bawang dan cili merah.
Aroma ikan yang digoreng sehingga garing itu begitu harum dan membuatkan sesiapa saja berasa teruja untuk mencubanya.

Selain hidangan utama, pelbagai makanan pembuka selera dan kuih muih turut disediakan kepada pelanggan yang ingin menikmati makan petang.
Pelanggan pasti menjadi rambang mata kerana tidak tahu untuk memilihnya dan salah satu yang menjadi kegemaran ialah kuih angku serta kuih lapis.
Tidak lengkap juga bagi sebuah restoran Peranakan jika tidak menghidangkan Pai Tee.
Pai Tee sememangnya snek pembuka selera yang diminati ramai disebabkan teksturnya yang begitu rangup.

Pai Tee lazimnya berisi inti sayuran segar yang dihidangkan bersama sos cili untuk membangkitkan lagi selera anda.
Dari pembuka selera hingga pencuci mulut, NyonyaLove menyediakan hidangan lengkap termasuk cendol sebagai penyejuk tekak.
Pencuci mulut sejuk dengan campuran santan dan gula melaka ini turut dicampur bersama jeli cendol untuk memberikan lebih kepuasan kepada penggemarnya.

Terdapat juga pilihan lain sekiranya anda mahu memilih sesuatu yang sejuk tetapi kurang manis seperti Lemo Kasturi Aiyu Jelly.
Pencuci mulut dari Taiwan ini lebih enak dinikmati jika digaul semua bahannya dalam ais kisar.
Selepas itu, anda boleh menambah rasa masam dengan memerah limau kasturi untuk mendapatkan rasa masam dan manis.
Bercakap kepada FMT, Ong berkata, walaupun kurang berpengalaman dalam bidang perniagaan restoran namun, dia ingin berkongsi makanan, budaya dan warisan Peranakan dengan orang ramai.

Walaupun sedar dengan situasi sukar sekarang, dia nekad untuk mengharungi cabaran dalam bidang perniagaan makanan yang diceburinya itu.
“Kita sudah memulakannya jadi langkah seterusnya ialah bergerak ke hadapan,” katanya.
Apa yang membuatkan pelanggan sering kembali ke restorannya, dia berkata “Bagaimana anda masak untuk keluarga, begitulah anda masak untuk pelanggan”.
Nyonya.Love
B-LG-5, Eight Kinrara,
Jalan BK 5A/1,
Bandar Kinrara,
47180 Puchong,
Selangor.
Nombor telefon: 018-989 9223
Waktu Operasi: 11 pagi -8 malam pada setiap hari (tutup pada Isnin)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]