Hamparan bunga mawar mekar di Taif pada Ramadan

Hamparan bunga mawar mekar di Taif pada Ramadan

Aktiviti menuai bunga mawar kali ini jatuh pada bulan Ramadan

Bunga mawar mula dipetik di kota Taif untuk menghasilkan pati minyak dan air bunga mawar. (Gambar AFP)

Pemandangan di kota Taif di barat Arab Saudi pasti bertukar merah jambu setiap kali kedatangan musim bunga apabila kawasan dipenuhi dengan bunga mawar yang tumbuh mekar.

Lazimnya, bunga terbabit akan dipetik untuk diambil pati minyaknya yang digunakan untuk membersihkan bahagian dinding luar Kaabah di Kota Suci Mekah.

Tahun ini, aktiviti menuai itu jatuh pada bulan suci Ramadan ketika umat Islam mengejar pahala dengan meningkatkan amal ibadah masing-masing.

Beberapa pekerja di ladang Bin Salman yang menjaga belukar pokok mawar itu memetik berpuluh ribu kuntum bunga pada setiap hari untuk menghasilkan pati minyak dan airnya.

Ia juga adalah bahan penting dalam industri kosmetik dan kulinari.

Minyak wangi mawar juga menjadi popular di kalangan berjuta umat Islam yang mengunjungi negara itu untuk menunaikan ibadah haji pada setiap tahun, lapor AFP.

Sejak dulu lagi, corak tumbuhan dan bunga sudah menjadi sebahagian daripada seni Islam.

Taif yang turut digelar sebagai bandar mawar mempunyai 800 ladang bunga mawar yang membuka pintunya kepada pelancong dan dianggarkan terdapat 300 juta bunga mawar mekar pada setiap tahun.

Pekerja ladang dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk di ladang, stor selain mengisi dan menimbang berat bakul menggunakan tangan.

Semua bunga terbabit kemudiannya akan direbus dan airnya akan disuling.

“Kami mula merebus bunga mawar pada suhu yang tinggi sehingga ia hampir tersejat dan ia akan mengambil masa sekitar 30 hingga 35 minit.

“Selepas itu, kami turunkan suhunya untuk tempoh 15 hingga 30 minit sehingga proses penyulingan bermula yang mengambil masa selama lapan jam,” kata pemilik ladang Bin Salman, Khalaf al-Tuweiri.

Sebaik, lapisan minyak terapung pada permukaan balang kaca, proses mengeluarkan minyak itu akan dilakukan.

Minyak terbabit kemudiannya dikeluarkan menggunakan alat picagari besar untuk mengisi bebuli yang berbeza saiznya dan paling kecil sekali berharga 400 riyal (RM440).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.