
Pelbagai lampu berwarna-warni serta hiasan Ramadan kembali memeriahkan kawasan sekitar Baitulmaqdis ketika umat Islam mula menjalani ibadah berpuasa.
Suasana itu berbeza dengan sambutan pada tahun lalu ketika pelbagai sekatan dikenakan termasuk penutupan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah As Sakhra akibat penularan Covid-19.
Biarpun ia masih sunyi dengan kedatangan pelancong, namun lebih ramai orang tempatan kelihatan keluar ke Bandar Lama apabila perniagaan kembali beroperasi.
“Disebabkan virus korona, situasi agak teruk kepada peniaga dan orang tempatan. Kini dengan adanya vaksin, situasi itu dilihat semakin pulih,” kata pembeli, Mohammad Abu Sbeih.
Bagaimanapun, penduduk Palestin masih kurang jelas sama ada mereka yang tinggal di Tebing Barat boleh datang beribadah di Masjid al-Aqsa sepanjang Ramadan ini seperti tahun sebelumnya.
Sehingga kini, pihak berkuasa Israel menjelaskan tidak ada keputusan yang dibuat berhubung permit melawat.
Situasi itu mungkin sukar melihat kepada pergerakan program imunisasi Covid-19 dilaksanakan oleh pihak berkuasa Palestin yang agak perlahan berbanding Israel.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin menjelaskan bahawa ia akan membenarkan lebih banyak kedai dibuka pada waktu malam dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid kecuali pada Jumaat iaitu hari paling sibuk.
Namun, ia tetap melaksanakan perintah sekatan pergerakan antara bandar, kampung dan kem pelarian pada waktu malam.
Mereka turut melarang restoran membenarkan orang ramai berbuka puasa di premis itu manakala penjual manisan pula hanya dibenarkan menyediakan khidmat penghantaran kepada pelanggan.
Di Gaza pula, orang ramai mula memenuhi beberapa pasar biarpun kes Covid-19 menunjukkan peningkatan setiap hari.
Keadaan itu memaksa pihak berkuasa Gaza menutup sekolah, melaksanakan sekatan pada waktu malam dan melarang perhimpunan besar.
“Tahun ini, kami membawa pelbagai barangan dari Mesir dan China. Kehadiran orang pada kali ini juga lebih ramai. Penduduk ingin menyambut Ramadan dengan gembira di rumah mereka,” kata peniaga, Hatem El-Helo.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]