Mi Loka, juadah ‘orang lama’ Negeri Sembilan kembali Ramadan ini

Mi Loka, juadah ‘orang lama’ Negeri Sembilan kembali Ramadan ini

Mi Loka adalah makanan tradisi Adat Lingkungan dan terkenal dalam masyarakat Adat Perpatih.

Pengerusi Ibu Soko Adat Lingkungan Seri Menanti, Maznah Udin menunjukkan Mi loka iaitu juadah tradisional masyarakat di Negeri Sembilan setiap kali menjelang Ramadan. (Gambar Bernama)

Setiap kali menjelangnya Ramadan, pelbagai hidangan tradisional pasti membuat kemunculan di bazar dan gerai yang menjual makanan berbuka puasa.

Salah satu hidangan tradisional ‘orang lama’ yang masih dirindui di Negeri Sembilan ialah Mi Loka, iaitu pengat dicampur mi siput.

Menurut dialek Negeri Sembilan, loka bermaksud alas periuk yang dianyam menggunakan lidi dan juadah unik ini semestinya hidangan tradisional yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Ibu Soko berketurunan suku Seri Lemak Minangkabau Lingkungan, Nazariah Mohd Noh, 68, berkata, mi loka adalah makanan tradisi Adat Lingkungan dan cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Adat Perpatih di negeri itu.

“Makanan ini amat digemari masyarakat negeri ini terutama ‘orang lama’ kerana ia senang dimasak dan hanya menggunakan bahan-bahan seperti gula enau, gula pasir, pisang nangka, daun pandan dan santan.

“Penyediaan mi loka ini juga sangat mudah selain enak dicicah dengan roti atau pulut,” katanya.

Menurutnya, ia adalah hidangan istimewa yang sangat dirindui kerana hanya dibuat dan dijual pada Ramadan serta boleh didapati di kawasan tertentu saja.

Bagi mengekalkan makanan tradisi itu, dia memasaknya sendiri di rumah untuk dijadikan juadah berbuka puasa dan kemahiran itu dipelajari secara turun-temurun daripada ahli keluarganya.

Bagaimanapun, katanya, ia sukar didapati pada hari biasa kerana kurang dikenali generasi muda dan ada juga yang tidak tahu mengenai kewujudan pemanis mulut itu.

Selain mi loka, kuih sopang yang diperbuat daripada tepung pulut, santan, gula enau dan kelapa parut muda juga antara kuih tradisi Adat Lingkungan yang menjadi pilihan masyarakat di negeri ini.

Suri rumah, Limah Ali, 73, berketurunan suku Tanah Datar Lingkungan berkata, ramai yang menyamakan kuih berkenaan seperti kuih badak berendam berikutan rupa bentuk dikatakan seakan-akan sama.

“Sebenarnya ia berbeza sama sekali. Kuih sopang berbentuk seakan karipap manakala badak berendam berbentuk bulat. Kuih ini juga dihidangkan dengan kuah santan pekat dan hanya mengambil masa sejam untuk memasaknya,” katanya.

Katanya, bagi memastikan kuih tradisional itu kekal serta tidak pupus ditelan zaman, dia bukan saja menghidangkan kuih itu pada Ramadan malah turut menjadi hidangan untuk dinikmati keluarga dan jiran tetangga ketika perayaan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Dr Shamsuddin Ahmad berkata program Demonstrasi Masakan Kuih Tradisi Berbuka Puasa Adat Lingkungan bertujuan memperkenalkan juadah berbuka puasa yang mewakili setiap suku dalam Adat Lingkungan.

Ia juga bagi menghidupkan kembali tradisi yang sudah lama ditinggalkan selain mengimbau kembali kemeriahan Ramadan serta tradisi bertukar-tukar juadah terutamanya kuih-muih hasil air tangan Ibu Soko, katanya.

“Jadi kita meminta pakar seperti Ibu Soko yang sememangnya arif dalam menghasilkan kuih tradisional Adat Lingkungan antaranya puteri mandi, kelepung gula enau, kuih sopang, kuih koci dan mi loka untuk diketengahkan kepada masyarakat terutama generasi muda,” katanya.

Adat Lingkungan adalah kelompok masyarakat mengamalkan Adat Perpatih yang tinggal di sekitar Istana Besar Seri Menanti manakala Ibu Soko adalah istilah khusus kepada wanita di Negeri Sembilan mahir dan menjadi pakar rujuk dalam pelbagai perkara khususnya berhubung perjalanan adat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.