
Kerajaan Thailand akan memberi ‘lampu hijau’ kepada semua pelancong yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk berkunjung ke Phuket.
Bermula Julai ini juga, pelancong terbabit tidak perlu melalui tempoh kuarantin.
Bangkok Post yang memetik Timbalan Perdana Menteri, Supattanapong Punmeechaow berkata Pusat Pentadbiran Situasi Ekonomi (CESA) akan mempertimbangkan rancangan membuka semula Phuket yang diluluskan oleh pengusaha di pulau terbabit.
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha dan rancangan itu boleh dijadikan sebagai model proses pembukaan semula untuk beberapa wilayah lain yang bergantung kepada pelancongan.
Supattanapong yang juga Menteri Tenaga berkata, pengusaha dan komuniti tempatan sudah bersetuju untuk membuka semula pulau itu kepada pelancong.
Katanya, pengusaha dan komuniti ini berasa yakin bahawa infrastruktur pelancongan di Phuket boleh menampung kedatangan ‘pelancong yang berkualiti’.
“Pulau Phuket sememangnya dikenali dan diiktiraf oleh pelancong asing. Namun, perniagaan dan komuniti tempatan terjejas teruk akibat gelombang kedua pandemik Covid-19.
“Mereka bekerjasama dan menawarkan untuk menjadi model pembukaan semula kepada beberapa wilayah lain. Terdapat penerbangan dan hotel disediakan untuk menarik kedatangan pelancong berkualiti.
“Mereka percaya, jika kerajaan menyokong rancangan ini, wilayah lain akan dibuka semula sebelum Oktober nanti,” katanya.
Sebelum ini, pihak berkuasa wilayah dan sektor persendirian tempatan membuat rancangan pembukaan semula itu dikenali sebagai Phuket Tourism Sandbox, untuk membenarkan pelancong melawat wilayah itu bermula 1 Julai ini.
Menurut cadangan itu, sekurang-kurangnya 466,587 penduduk Phuket perlu menerima dua dos suntikan vaksin dan ia mensasarkan sebanyak 933,174 dos.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]