Rumah Pelangi tarikan bergambar di Kota Bharu

Rumah Pelangi tarikan bergambar di Kota Bharu

Deretan rumah-rumah kayu lama kini berubah wajah berwarna-warni, mencetuskan suasana ceria selain menjadi lokasi unik untuk bergambar.

Deretan rumah pelangi yang telah dicat dengan warna-warna pelangi. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Nampak indah, segar, cantik dan terang, itulah yang boleh digambarkan mengenai warna-warna pelangi yang menghiasi kediaman penduduk di Kampung Sungai Budor, dekat sini yang dahulunya suram dengan deretan rumah-rumah kayu lama.

Tampil dengan ‘wajah baharu’, penempatan yang kini dikenali sebagai ‘Rumah Pelangi’ itu mencetuskan suasana ceria, malah mula menjadi tumpuan orang ramai selain turut menjadi lokasi unik untuk bergambar yang memberikan panorama seakan berada di luar negara.

Idea menarik transformasi itu dilakukan Pertubuhan Prihatin Kelantan dengan Kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak 2018 yang mengubah kampung itu menjadi antara destinasi tarikan pelancongan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Seorang penduduk Wan Rosdi Wan Ismail, 56, ketika ditemui Bernama berkata sejak rumah-rumah penduduk di perkampungan yang terletak di persisiran Sungai Kelantan itu mula dicat dengan pelbagai warna menarik, kawasan ini mula menerima pelawat yang ramai sama ada dari dalam mahu pun luar negara.

Sehingga kini terdapat kira-kira 10 buah rumah telah dicat dengan warna-warna Pelangi dan ratusan rumah lagi dijangka akan dicat bagi menceriakan kawasan sekitar untuk menarik kedatangan pelancong.

“Inisiatif dengan Kerjasama beberapa pihak termasuk kerajaan negeri ini sangat baik, malah saya juga berterima kasih atas usaha ini memandangkan untuk mengecat rumah yang sudah usang ini menggunakan wang sendiri, sememangnya saya tidak mampu,” kata Wan Rosdi yang bekerja sebagai tukang gunting rambut.

Menurut Wan Rosdi sebelum pandemik Covid-19, kampungnya itu sering menerima kunjungan pelancong asing seperti dari Korea Selatan, Jepun dan Australia yang tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan foto menarik berlatarkan rumah pelangi berkenaan.

Katanya, ada juga sesetengah penduduk di kampung berkenaan mengambil inisiatif mengecat sendiri rumah bagi mempercepatkan lagi proses transformasi kediaman masing-masing.

Seorang lagi penduduk, Wan Nazrul Sham Wan Samat, 23, berkata transformasi di kampung mereka itu bukan sahaja dapat menghidupkan lagi sektor pelancongan di negeri, bahkan ia turut dapat menyuntik peluang ekonomi kepada penduduk untuk berniaga.

“Transformasi di sini membantu penduduk kampung mencari rezeki tambahan,” katanya menambah ada dalam kalangan penduduk yang mengambil inisiatif membuka gerai makanan.

Malah, beliau sendiri merancang untuk membuka kedai batik di kampung berkenaan pada awal tahun depan untuk menjana pendapatan.

Sementara itu, penyelia bahagian cat bagi projek berkenaan, Azizan Hadi, 45, berkata seramai enam orang ditugaskan untuk mengecat rumah-rumah berkenaan dengan tujuh warna berbeza sempena tema warna pelangi.

Katanya, hampir setiap hari tukang cat akan memulakan tugasan mengecat rumah penduduk bermula sekitar pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

“Masa untuk mengecat sebuah rumah adalah sekitar sehari dan boleh mencecah sehingga tiga hari bergantung kepada keluasan rumah berkenaan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.