Hanya tinggal 3 kanak-kanak di Pulau Nokdo

Hanya tinggal 3 kanak-kanak di Pulau Nokdo

Tanda kemerosotan populasi di Korea Selatan nyata membimbangkan apabila hanya tinggal tiga orang kanak-kanak di Nokdo.

Lyoo Chan-hee bersama adiknya bermain di pantai Pulau Nokdo. (Gambar Reuters)

Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Lyoo Chan-hee berharap dia bukanlah antara tiga kanak-kanak terakhir yang bermain di pantai Pulau Nokdo, Korea Selatan.

“Alangkah baiknya jika saya mempunyai lebih ramai rakan di sini yang boleh bermain bersama-sama,” kata keluh Chan-hee.

Dia sebaliknya sering meluangkan masa bersama Kim Si-Young yang berusia 66 tahun iaitu salah seorang daripada 100 penduduk terakhir di perkampungan nelayan terbabit.

“Dia (Kim) sering menghubungi saya dan selalu berkongsi makanan sedap yang dimakannya,” kata Chan-hee kepada Reuters.

Keadaan di pulau terbabit menggambarkan situasi di Korea Selatan yang mengalami kemerosotan populasi.

Menurut Bank Dunia, ia menjadi negara yang mempunyai populasi meningkat tua dengan cepat di dunia selain kadar kelahiran paling rendah berbanding mana-mana negara pada tahun lalu.

Chan-hee dan Kim yang banyak menghabiskan masa bersama setiap hari sambil sempat membelek sebuah album gambar lama yang menunjukkan kemeriahan sambutan hari sukan sekolah dihadiri oleh beratus murid.

Gambar yang berusia 40 tahun itu semakin pudar, begitu juga dengan masa depan Pulau Nokdo yang letaknya sejauh 75 minit perjalanan menaiki feri dari pantai barat Korea Selatan.

Selepas beberapa dekad mengalami urbanisasi serta dasar kawalan kelahiran penduduk yang sudah lama hilang, sekolah di Nokdo juga ditutup.

“Saya hanya mampu menangis apabila sekolah di pulau ini ditutup pada 2006. Saya ingin melindungi Nokdo tetapi berasa tertekan melihat bilangan penduduk yang semakin berkurangan,” kata Kim.

Sementara itu, seorang penyelidik demografi di Institut Penyelidikan Ekonomi Korea (KERI), Choi One-lack berkata, dia melihat banyak bandar kecil yang berisiko untuk lenyap selama-lamanya.

“Banyak bandar kecil yang berisiko lenyap. Penuaan rakyat dan penurunan kadar kelahiran di sini antara yang terendah di kalangan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD),” katanya.

Data yang dikeluarkan Korea Selatan pula menunjukkan kadar kelahiran negara itu turun kepada 0.84 pada tahun lalu berbanding 4.5 pada 1970.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.