Pulau Wilhemstein salah satu lokasi tercantik di Jerman

Pulau Wilhemstein salah satu lokasi tercantik di Jerman

Pulau Wilhemstein terbentuk daripada 16 buah pulau yang bermula dari kubu pertahanan tentera sehinggalah kepada penjara berkeselamatan tinggi.

Pemandangan udara menunjukkan keindahan Pulau Wilhemstein di Jerman (Gambar Wikimedia Commons)

Sebuah pulau buatan manusia di Tasik Steinhude, Jerman kelihatan seperti satu lokasi paling sesuai untuk mengasingkan diri ketika dilanda pandemik Covid-19.

Lokasi yang dikenali sebagai Pulau Wilhelmstein itu sebenarnya mempunyai sejarah panjang yang bermula sejak 1761.

Ketika itu, pemerintah daerah Schaumburg-Lippe-Bückeburg, Count Wilhem von Schaumburg-Lippe bersama tenteranya mengarahkan pembinaan kubu di tengah Steinhude Meer iaitu tasik terbesar di utara Jerman.

Pada mulanya, lokasi yang menjadi pertahanan tentera terdiri daripada 16 pulau yang dibina atas tapak besar diperbuat daripada batu dipindahkan ke tengah tasik oleh nelayan tempatan menggunakan bot mereka.

Kubu berbentuk bintang dibina di tengah pulau dan kemudiannya menjadi kolej tentera untuk memberi latihan di situ.

Sebagai kubu, pulau terbabit hanya diuji sekali saja iaitu pada 1787 apabila ketika pengepungan tentera Hessian dan ia berjaya melindungi mereka.

Selepas kematian Wilhem dan penempatan semula sekolah tentera ke tanah besar, kubu di pulau itu dijadikan sebagai penjara berkeselamatan tinggi.

Pada awal abad ke-19, semua 16 pulau terbabit kemudiannya digabungkan kepada sebuah pulau, sekali gus menjadikannya mempunyai kawasan yang lebih luas.

Bagaimana pun, penghuni penjara dipindahkan ke penjara lain pada 1867 dan bermulalah era baru Pulau Wilhemstein sebagai lokasi tumpuan pelancong.

Dalam tempoh beberapa dekad saja, pulau buatan itu bertukar kepada destinasi popular kepada pelancong dari seluruh Jerman dan negara lain.

Majlis perkahwinan pertama selamat diadakan di pulau terbabit pada 1900 dan dianjurkan oleh pengurusan pulau itu sendiri memandangkan nama lokasi itu semakin dikenali.

Hari ini, Pulau Wilhemstein menjadi salah satu tempat paling indah di Jerman yang boleh dilawati pengunjung dengan menaiki bot selain melawat kubu lama yang dijadikan sebagai muzium.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.