Hotel Angkasa bakal dibuka pada 2027

Hotel Angkasa bakal dibuka pada 2027

Percutian paling mewah ini menjanjikan pengalaman di angkasa lepas

Hotel Angkasa pertama dunia. (Gambar Voyager Station)

Bercuti di angkasa lepas bukan lagi satu perkara yang mustahil apabila sebuah hotel angkasa pertama dunia akan dibuka pada 2027.

Syarikat yang mengendalikan projek besar berkenaan, Orbital Assembly Corporation (OAC) baru-baru ini mendedahkan perincian baru hotel angkasa dikenali sebagai Voyager Station itu.

Indian Express melaporkan, mereka turut berkongsi beberapa video dan gambar hotel mewah itu di laman web, sekali gus mengundang rasa teruja terutama di kalangan peminat filem sains fiksyen.

Menurut syarikat itu, Voyager Station berupaya memuatkan seramai 400 orang dan menjanjikan pemandangan menakjubkan kepada pelancong dan kumpulan penyelidik.

Bukan itu saja, ia akan menempatkan restoran mewah, bar, gimnasium, pusat aktiviti malah bakal menjadi lokasi artis ternama mengadakan konsert mereka.

Sekilas pandang, rekaan hotel itu seakan menyerupai sebuah roda besar yang berputar di angkasa dan ia juga menjadi stesen angkasa pertama yang beroperasi dengan graviti buatan.

“Voyager Station adalah stesen angkasa yang berputar untuk menghasilkan beberapa peringkat graviti buatan dengan meningkatkan atau mengurangkan kadar putaran.

“Buatan atau simulasi, graviti amat penting bagi membolehkan ruang angkasa diduduki untuk tempoh jangka masa panjang,” jelas laman web itu.

Menurutnya juga, hotel terbabit juga diwujudkan untuk mereka yang ingin mencari pengalaman baru selain pelanggan yang melakukan penyelidikan.

“Ia bukan hanya menempatkan agensi angkasa antarabangsa yang melakukan penyelidikan graviti rendah tetapi kepada pelancong yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di stesen angkasa dengan keselesaan graviti rendah dan kemewahan hotel,” kata laman web itu.

Bagaimana pun, ia menegaskan bahawa peluang sekali seumur hidup itu bukan untuk semua memandangkan percutian berkenaan menelan belanja USD 25 juta (RM101.3 juta).

Stesen itu akan mempunyai satu lingkaran besar dikenali sebagai Habitation Ring yang akan dihubungkan dengan rangkaian pod.

Rangkaian pod itu datang dengan pelbagai jenis dan akan digunakan sebagai villa, hotel, aktiviti komersil dan pod milik kerajaan untuk tujuan penyelidikan, latihan dan tempat peralatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.