Pai Tee: Resepi Nyonya untuk hidangan petang

Pai Tee: Resepi Nyonya untuk hidangan petang

Pai Tee merupakan sajian Nyonya seakan-akan sajian popia Cina kerana menggunakan inti diperbuat daripada sayuran.

Boleh dihidangkan sebagai minuman petang. (Gambar Gerald Lee)

Pai Tee adalah snek minum petang kegemaran rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Kesegaran inti dan kerangupan kulit Pai Tee boleh membuatkan sesiapa saja mengeluh gembira.

Pai Tee merupakan sajian Nyonya seakan-akan sajian popia Cina kerana menggunakan inti diperbuat daripada sayuran yang diparut seperti sengkuang dan lobak merah.

Nama Pai Tee ini diberi kerana bentuk kulitnya yang panjang dan seperti topi tinggi. Oleh itu, snek ini telah diberi nama ‘Pai Tee’ yang bermaksud ‘Topi Tinggi’ atau ‘Top Hat’ dalam bahasa Inggeris.

Untuk mendapatkan Pai Tee yang betul-betul sedap anda boleh membuatnya sendiri dan hasilnya pasti memuaskan!

Bahan-Bahan:

Pai

  • 18g tepung gandum
  • 120g tepung pulut
  • 1 biji telur (Gred A)
  • 13g minyak masak
  • Secubit lada sulah
  • Secubit garam
  • 140g air

Inti

  • 1 taukua atau tauhu, dihiris
  • 1kg lobak putih cina, diparut
  • 1 lobak merah, diparut
  • 4 cendawan kering, direndam hingga lembut dan dihiris nipis
  • 150g udang segar, dibuang kulit, dibuang urat, diptong menjadi ketulan kecil
  • 80g kacang buncis, dihiris
  • 3 ulas bawang putih, cincang halus
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 1 1/2 sudu teh garam atau secukup rasa
  • Secubit lada sulah

Hiasan

  • Daun bawang
  • Parsli
  • Bawang goreng

Sos

  • 5 sudu besar sos cili bawang putih
  • 3 sudu besar sos cili manis
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 8 biji limau, jus diperah
  • 2 sudu teh biji bijan dipanggang
  • 2 sudu teh kacang panggang

Cara membuatnya:

Pai

  1. Dalam mangkuk besar, masukkan kesemua bahan dan kacau rata hingga adunan halus.
  2. Biar adunan rehat selama 40 minit.
  3. Dalam kuali dasar dalam, isi hingga minyak meliputi acuan Pai Tee. Panaskan minyak atas api sederhana besar kemudian kecilkan api. Panaskan acuan Pai Tee dalam minyak panas.
  4. Pindahkan adunan ke dalam balang kecil dan dalam.
  5. Celup acuan yang panas ke dalam adunan. Litupi acuan dengan adunan.
  6. Celup acuan panas ke dalam adunan selama beberapa saat agar adunan melekat dengan sekata pada acuan. Jika tidak, akan ada lubang jika adunan tidak meliputi acuan dengan sekata.
  7. Biar lelehan lebihan adunan menitis. Kemudian, celupkan acuan ke dalam minyak panas. Kecilkan api jika terlalu panas.
  8. Biar acuan terendam di dalam minyak selama beberapa saat sebelum mengeluarkan pai menggunakan sepasang penyepit. Jika dikeluarkan dengan begitu pantas, pai akan meleper dan kehilangan bentuknya.
  9. Goreng hingga perang keemasan. Pindahkan pai ke atas pinggan yang dilapik tisu dan simpan di dalam bekas kedap udara apabila sudah sejuk. Anda boleh sediakan kulit pai lebih awal.

Inti

  1. Letakkan 2 sudu besar minyak masak di dalam kuali tak melekat. Goreng tauhu hingga kuning keemasan dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali, goreng bawang putih hingga wangi.
  3. Masukkan udang. Goreng hingga bertukar warna.
  4. Masukkan tauhu dan cendawan. Kacau rata.
  5. Masukkan lobak putih atau sengkuang, lobak merah, kacau selama 3 minit dan masukkan kicap cair, garam serta lada sulah secukup rasa.
  6. Masak hingga sayur lembut. Masukkan kacang buncis dan goreng selama 3 minit lagi. Pindahkan ke dalam mangkuk berasingan dan ketepikan.

Sos

1. Dalam mangkuk, campurkan semua bahan dan kacau rata. Anda boleh tambah mana-mana bahan menurut citarasa anda.

Menghidangkan Pai Tee

  1. Susun kulit pai di atas pinggan dan cedokkan inti ke dalam.
  2. Kemudian, hias dengan sedikit taburan daun bawang, parsli dan bawang goreng.
  3. Titiskan sedikit sos cili di atas dan siap!

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com. Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.