Rehatkan minda di Sungai Chiling, Hulu Selangor

Rehatkan minda di Sungai Chiling, Hulu Selangor

Sungai Chiling menjadi salah satu lokasi terbaik untuk menikmati keindahan alam semulajadi.

Inginkan cabaran? Seberang jambatan ini dan daki sehingga sampai ke salah satu air terjun menarik di Malaysia. (Gambar Kaki Jalans)

Apa lagi pilihan terbaik untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga selain membawa mereka meneroka lokasi yang jarang dilawati.

Lebih mengujakan lagi apabila dapat melihat sendiri keindahan di salah satu air terjun di situ.

Anda boleh mengunjungi lokasi air terjun yang terletak di Sungai Chiling, Selangor ini dengan hanya menaiki keretapi.

Lokasinya juga berhampiran sempadan Pahang dan pengunjung boleh memilih sama ada untuk ke sungai berhampiran sebuah jambatan kecil atau ke Santuari Ikan Chiling.

Pintu masuk ke santuari Ikan Sungai Chiling (Gambar Kaki Jalans)

Santuari ini ibarat syurga yang belum diterokai apabila laluannya masih terpelihara tanpa dicemari sebarang pembangunan selain bersih daripada sampah sarap yang biasanya boleh dilihat di kawasan riadah lain di Malaysia.

Menariknya, pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1 sebagai yuran konservasi.

Pada masa sama, pengunjung diingatkan juga bahawa tempat ini tidak disediakan tong sampah dan orang ramai perlu membawa sisa sampah bersama mereka sebelum dibuang di tempat sepatutnya.

Tempat ini dijaga dengan baik. (Gambar Kaki Jalans)

Santuari ini juga adalah jalan utama untuk mereka yang ingin melihat keindahan air terjun Chiling.

Cakap-cakap orang memberitahu bahawa air terjun ini sangat cantik namun pengunjung perlu mendaki dan melintasi lima sungai untuk sampai ke situ.

Di santuari itu sendiri, pengunjung boleh melihat dan memberi makan ikan kelah tetapi dilarang menangkapnya.

Air sungainya begitu jernih hingga boleh melihat ikan kelah dengan jelas. (Gambar Kaki Jalans)

Selain air sungai yang jernih, ia juga agak sejuk walaupun ketika waktu tengah hari. Dasar sungai yang dipenuhi batu menjadikannya sebagai salah satu lokasi sesuai untuk merehatkan minda.

Tidak hairanlah ia menjadi salah satu tempat untuk bersama keluarga jika pengunjung berkeinginan mendekati alam semula jadi dan jauh dari hiruk pikuk bandar.

Cara ke sana

Papan tanda Santuari Ikan Sungai Chiling. (Gambar Kaki Jalans)

Pengunjung boleh memandu ke Kuala Kubu Bharu. Dari situ, terus menghala ke Bukit Fraser.

Anda akan melepasi Empangan Selangor sebelum melihat satu jambatan kecil. Pintu masuk Sungai Chiling berada di sebelah kiri manakala pintu masuk Santuari Ikan Chiling pula di sebelah kanan dan jarak dua tempat itu tidak begitu jauh dari jambatan.

Bagi mereka yang memilih pengangkutan awam boleh menaiki komuter KTM ke Stesen Kuala Kubu Bharu. Dari situ pula boleh menaiki teksi ke Chiling.

Harga tambang dikenakan sekitar RM70 ke RM80 bagi perjalanan pergi dan balik.

Khai dan isteri Amira adalah penulis blog di Kaki Jalans. Mereka telah mengembara hampir ke seluruh Asia dan lima negara di Eropah. Mereka masih lagi mengembara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.