Cakoi yang enak dinikmati bersama secangkir kopi

Cakoi yang enak dinikmati bersama secangkir kopi

Cakoi sering mendapat populariti dalam kalangan masyarakat Melayu dan India juga kerana ianya sangat mudah disediakan dan enak.

Cakoi sedap dimakan bersama secawan kopi panas.

Cakoi, youtiao, pak tongko: walau apapun nama yang dipanggil, anda tahu kalau anda lambat ke gerai makcik atau pakcik yang menjualnya, terlepaslah peluang untuk menikmatinya dengan colekan sambal ikan bilis yang pedas dan menyelerakan.

Youtiao merupakan snek roti goreng, yang secara tradisionalnya dihidangkan di kedai-kedai kopitiam Cina.

Namun begitu, cakoi mendapat populariti dalam kalangan masyarakat Melayu dan India juga kerana masakan ini sangat mudah disediakan, mengenyangkan dan paling penting sekali, sesuai untuk disediakan pada bila-bila masa.

Anda boleh mencuba sendiri resepi cakoi yang enak ini dan mudah serta cepat untuk disediakan.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 3/4 cawan air suam
  • 1/2 sudu kecil yis
  • 2 sudu besar gula
  • 1 1/2 sudu besar minyak jagung
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara membuatnya:

  1. Masukkan gula dan yis ke dalam air suam. Kacau dan biarkan yis kembang lebih kurang 15 minit.
  2. Satukan tepung, minyak jagung dan garam ke dalam bekas besar.
  3. Masukkan yis yang telah kembang tadi ke dalam bekas tepung. Uli adunan sehingga tidak melekat di tangan dan menjadi doh.
  4. Perap doh sehingga naik 2 kali ganda lebih kurang 1jam.
  5. Tumbuk doh yang telah kembang untuk mengeluarkan angin.
  6. Canai doh secara memanjang. Tebal lebih kurang 1cm. Kemudian potong kecil-kecil secara melintang. Letakkan air di bahagian tengah doh yang telah dipotong kecil dan lapik dua.
  7. Perap doh sekejap lebih kurang 5 ke 10 minit supaya lebih kembang
  8. Tarik doh memanjang dan terus goreng dengan api sederhana kecil.

Nota:

  • Jangan guna air yang terlalu panas untuk mengelakkan yis mati.
  • ·Uli lama untuk mendapatkan kuih yang lembut.
  • ·Boleh tambah sedikit baking powder dan soda bikarbonat jika suka.

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.