Mendaki santai di Bukit Bendera Beaufort

Mendaki santai di Bukit Bendera Beaufort

Bukit Bendera menjadi kawasan pilihan bagi penggemar aktiviti lasak untuk mendaki terutamanya penduduk sekitar daerah Beaufort.

Pengalaman mendaki di Bukit Bendera Beaufort agak mencabar namun menyeronokkan. (Gambar Bernama)
BEAUFORT:
Sebut nama Bukit Bendera pastinya ramai akan membayangkan ia terletak di Pulau Pinang, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa di daerah Beaufort juga mempunyai nama tempat yang sama, terletak kira-kira 75 kilometer dari Kota Kinabalu.

Bukit Bendera setinggi 1,399 meter dari aras laut itu menjadi kawasan pilihan bagi penggemar aktiviti lasak terutamanya penduduk sekitar daerah Beaufort termasuk Membakut untuk mendaki.

Di pintu masuk ke kaki bukit itu terletak papan tanda ‘Selamat Datang, Bukit Bendera, Beaufort’ dan sepanjang 300 meter pertama laluan itu perlu melalui batuan kerikil dan bagi mengelak tersesat, pendaki perlu melihat denai yang menjadi laluan ke puncak bukit.

Di laluan itu, terdapat sebatang anak sungai kecil dan air terjun setinggi kira-kira tiga meter dan selepas melalui sungai itu pendaki perlu mendaki kawasan tanah berbukit yang dilitupi pokok tumbuh meliar.

Akar kayu di sepanjang laluan itu juga amat membantu sebagai tangga untuk dipijak kerana tanah di laluan itu agak licin terutama selepas hujan.

LALUAN DIPAGARI POKOK HUTAN

Sepanjang perjalanan pendakian, di kiri dan kanan laluan dipagari dengan pokok kayu, pakis hutan dan bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan.

Di laluan itu juga terdapat beberapa plastik tergantung yang mungkin digunakan sebagai tong sampah kerana laluan itu kelihatan bersih daripada sampah.

Papan tanda sebagai petunjuk jarak ke puncak juga turut dibina di beberapa lokasi.

Pendakian ke puncak Bukit Bendera itu amat sesuai bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan aktiviti lasak.

Apabila sampai di puncak, papan tanda ‘Selamat Datang ke puncak Bukit Bendera Beaufort’ menyambut pendaki.

Pemandangan yang indah mampu menghilangkan rasa letih apa tah lagi bila melihat alur Sungai Padas dan kawasan sekitar Beaufort dari puncak Bukit Bendera.

Di puncak itu, turut disediakan pondok untuk pendaki berehat sambil menikmati suasana dan pemandangan sekeliling yang dilitupi kehijauan hutan serta bunyi hidupan liar.

Namun, kawasan puncak bukit itu agak terhad untuk menampung ramai pendaki pada satu-satu masa.

Sememangnya Bukit Bendera Beaufort ini sesuai untuk aktiviti pendakian santai hujung minggu. Perjalanan dari Pekan Membakut ke pintu masuk Bukit Bendera mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun ketika dihubungi Bernama berkata, beberapa perancangan telah dibuat bagi menambahbaik laluan ke puncak Bukit Bendera.

“Insya Allah, sudah ada perancangan untuk membuat jambatan baharu dan papan tanda di sepanjang laluan itu,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.