
Bagi merawat sektor pelancongan yang terkesan akibat wabak Covid-19 ketika ini kerajaan Negeri Perlis menerusi Pelan Perlis Digital 2025 memperkenalkan ekopelancongan digital di Gua Kelam.
Pemilihan Gua Kelam sebagai projek perintis adalah berdasarkan daya tarikan dan popularitinya sebagai salah satu produk pelancongan di negeri itu.
Muzium 3D adalah elemen digital pertama diperkenalkan di Gua Kelam pada tahun lepas mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Idea pendigitan ini memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan keindahan dan keunikan Gua Kelam memandangkan tidak semua pengunjung mampu masuk ke dalam gua berkenaan atas faktor usia dan kesihatan.
Tidak ramai mengetahui terdapat tiga Gua Kelam iaitu Gua Kelam 1, Gua Kelam 2 dan Gua Kelam 3 yang mempunyai keunikan masing-masing.
Maklumat tentang Gua Kelam dimuat turun dalam format digital bagi membolehkan orang ramai merasai dan menikmati sendiri keunikan ketiga-tiga Gua Kelam ini tanpa perlu menerokai laluan gua yang mencabar.
Pelaksanaan ekopelancongan ini dapat memudahkan pengunjung dengan perkhidmatan bayaran secara online untuk memasuki tempat-tempat tertentu, tanpa perlu membawa wang tunai jika ingin masuk ke dalam Gua Kelam.
Sudah tiba masa untuk sektor pelancongan menerima budaya digital memandangkan semua maklumat kini boleh dicapai menerusi internet.
Jabatan Perhutanan Negeri Perlis bercadang menggunakan rangkaian generasi kelima (5G) dengan menyediakan maklumat bergambar dan video kepada pengunjung berbanding kaedah teks sebelum ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]