
Tiga pulau di taman itu terdiri daripada Pulau Selingaan, Gulisaan dan Bakkungan Kecil, terletak di Laut Sulu di pantai timur Sabah adalah kawasan perlindungan yang selamat bagi Penyu Hijau dan Penyu Karah/Sisik.
Ketiga-tiga pulau itu yang membentuk Turtle Island Park – diwartakan sebagai taman negara pada 1977 – merangkumi kawasan perlindungan seluas 18.2 hektar.

Pulau Selingaan (8.1 hektar) dan Pulau Gulisaan (1.6 hektar) dipisahkan dengan jarak tiga kilometer manakala Bakkungan Kecil (8.5 hektar) kira-kira tujuh kilometer dari kedua-dua pulau berkenaan dan berhampiran sempadan perairan Malaysia-Filipina.
Pada masa kini, hanya Selingaan dan Bakkungan Kecil terdapat tempat penetasan telur penyu.
Pelawat hanya dibenarkan melihat penyu bertelur, menetas dan dilepaskan di Pulau Selingaan, yang juga menyediakan kediaman yang dilengkapi kemudahan asas kepada pelancong.

Tempat penetasan pertama didirikan di Pulau Selingaan pada 1966 sebelum ia diperluaskan ke Pulau Bakkungan Kecil dan Gulisaan pada 1968 tetapi tempat penetasan di Gulisaan ditutup pada 2015 susulan hakisan pantai.
Turtle Island Park di Sandakan adalah pantai sarang tradisional untuk Penyu Hijau dan Penyu Karah/Sisik, manakala Penyu Lipas jarang muncul di sarang berkenaan.
Turtle Island Park ini dijaga oleh Hasbulah Buis, 55 yang merupakan penolong pegawai penyelidik di Sabah Parks.
Sabah Parks ialah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan dan pengurusan taman-taman negara di negeri ini termasuk Turtle Island Park.
Hasbulah turut mengurus pemuliharaan penyu di Turtle Island Park dengan dibantu oleh 31 pegawai Sabah Parks – 20 di Pulau Selingaan, sembilan di Bakkungan Kecil dan tiga di Gulisaan.

Menurut Hasbulah, aktiviti pemuliharaan penyu yang dijalankan di Turtle Island Park, Sandakan, telah berjaya melepaskan anak penyu hasil daripada kira-kira 19 juta telur yang dinetaskan daripada lebih 315,000 sarang penyu sejak 1979 hingga 2019.
“Daripada rekod kami, spesies penyu yang mendarat dan bersarang di Turtle Island Park adalah jenis Penyu Hijau dan Penyu Karah. Penyu Lipas jarang sekali datang ke pulau ini.
“Malah, jumlah penyu yang mendarat di Turtle Island Park telah meningkat antara 6,000-15,000 setahun sejak 1991,” jelas Hasbulah bangga.
Katanya lagi, satu daripada cabaran bagi melindungi penyu di Sabah ialah pencerobohan nelayan asing yang dipercayai bertanggungjawab terhadap pembunuhan berleluasa hidupan laut itu di perairan Kudat di hujung utara Sabah.
“Tetapi sisa plastik juga satu lagi ancaman utama kepada kehidupan marin terutama penyu kerana ia berbahaya kepada jangka hayat hidupan laut itu,” katanya dan menambah bahawa bot ikan juga didapati mencerobohi kawasan pemuliharaan penyu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]