
Turki sememangnya sebuah negara “megah” dengan keindahan tempat bersejarah dan bangunan ikonik yang berperanan besar dalam perkembangan agama Islam. Buktinya, lihat sahaja binaan masjid-masjidnya, penuh dengan artifek warisan peninggalan sejarah yang masih teguh sehingga ke hari ini.
Jika berkunjung ke Kota Istanbul, Turki anda pasti terpegun menyaksikan sebuah masjid berdiri megah di atas puncak Bukit Camlica yang merupakan titik tertinggi kota Istanbul.

Masjid Camlica merupakan masjid terbesar di Turki yang mampu memuatkan seramai 63,000 jemaah dalam satu masa. Acara perasmiannya telah dihadiri oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan dirasmikan selepas solat Jumaat.
Satu hasil karya seni yang indah menambah keindahan kota Istanbul, masjid yang berada di kawasan seluas 90 hektar ini dikelilingi kawasan hijau, menggabungkan gaya seni bina era Usmani dan Seljuk. Peletakan batu pertama dilakukan pada 2013 dan ianya mulai dibuka kepada jemaah sejak awal 2019. Kos pembangunannya mencapai US$100 juta dollar dan mendapat sokongan penuh dari Presiden Erdogan.
Dari jauh kelihatan enam menara gah menjulang tinggi yang dikatakan mewakil enam rukun iman di dalam agama Islam dengan empat menara berketinggian 107,1 meter yang melambangkan kemenangan pasukan Seljuk ke atas tentera Bizantium dalam pertempuran Manzikert pada tahun 1071.
Manakala kubah utamanya berketinggian 72 meter, melambangkan warga asal seramai 72 negara yang tinggal di Istanbul.

Masjid ini menggunakan karpet seluas 17,000 meter persegi sementara mimbar untuk khatib berada 21 meter dari lantai dan perlu menggunakan “lift” untuk naik ke mimbar.
Di kompleks masjid juga terdapat galeri seni dan muzium. Dengan seni bina yang megah, masjid ini boleh dilihat dengan mudah dari setiap tempat di Istanbul dan ia tersergam indah di Kota Istanbul ketika waktu malam.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]