Lembu terpendek dunia hanya tersenarai dalam Rekod Dunia selepas mati

Lembu terpendek dunia hanya tersenarai dalam Rekod Dunia selepas mati

Rani, lembu paling pendek di dunia akhirnya tersenarai dalam Guinness Book of World Records beberapa minggu selepas kematian tragisnya.

Rani mati beberapa minggu lalu akibat mengalami masalah angin di perut. (Gambar AFP)

Lembu comel setinggi lutut, yang cukup sensasi di Bangladesh baru-baru ini akhirnya mendapat pengiktirafan dunia sebagai lembu terpendek di muka bumi ini beberapa minggu setelah kematiannya.

Rani, yang memiliki ketinggian hanya 50.8 sentimeter (sm), pantas menjadi selebriti internet sekali gus mengundang puluhan ribu orang ke ladang milik tuannya yang terletak di pinggir Dhaka semata-mata untuk melihat kelibatnya.

Namun sebaik pemiliknya membuat permohonan kepada Guinness World of Records, tragedi menimpa apabila lembu kenit yang cukup disayangi ramai itu tiba-tiba mati akibat masalah angin di perut.

Pemilik lembu, Kazi Mohammad Abu Sufian, berkata dia menerima email pada Isnin dari Guinness World Records mengatakan permohonan Rani telah diterima.

Difahamkan satu kenyataan di laman web Guinness turut mengesahkan status dunia bagi lembu Bhutti miniatur itu, mengalahkan pemegang sebelumnya, seekor lembu dari India bernama Manikyam setinggi 61sm.

“Kami telah menghantar beberapa video Rani yang bersesuaian dengan keperluan Guinness World Records. Kami juga telah mengirim laporan bedah siasat kepada pihak berkuasa Guinness untuk membuktikan bahawa tiada sebarang insiden luar biasa berhubung kematiannya,” kata Sufian kepada AFP.

Menurut Sufian, dia turut menghantar rekod perubatan Rani kepada Guinness selepas mereka bertanya mengenai suntikan hormon.

“Perasaan kami bercampur-baur sebaik Rani menerima pengiktirafan itu. Kami gembira kerana ia mendapat penghormatan sewajarnya. Tetapi kami turut bersedih kerana ia tidak lagi bersama kita,” kata Sufian.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.