
Bukan, ia bukan karakter kartun dan gambar ini tidak menggunakan sebarang penapis (filter) untuk kesan lebih dramatik. Ia adalah keanehan luar biasa alam semulajadi yang dikenali sebagai burung potoo.
Memiliki ketinggian yang mampu mencecah 60cm dan sayap selebar 70cm, tidak hairanlah burung besar dari keluarga Caprimulgiformes yang aktif pada waktu malam ini mampu mengejutkan manusia yang terserempak dengannya.
Begitu juga kisahnya dengan seorang wanita yang berkongsi pengalamannya ketika terjumpa burung tersebut pada waktu siang.
Menurutnya dia sedang bersiar-siar di ladang dan ternampak sebatang ‘pokok’ yang agak pelik. Ketika cuba menghampiri, alangkah terkejutnya wanita itu apabila mendapati ia sebenarnya adalah seekor burung yang besar dengan wajah agak menyeramkan.
Burung potoo turut dikenali sebagai urutau yang bermaksud ‘burung hantu’ menerusi perkongsian Raymond Alvarado, LLM di laman sosial Twitter itu biasa ditemui di sekitar Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Lazimnya keluarga burung hantu adalah haiwan yang aktif pada waktu malam, namun sebaliknya burung potoo yang ditemui wanita tersebut keluar pada waktu siang.
Cerita wanita itu, dia lebih terkejut apabila burung yang disangkanya batang kayu itu tiba-tiba membuka mata dan mulutnya yang besar seraya mengeluarkan bunyi hilaian yang cukup menyeramkan.
Tidak hairanlah video pendek berdurasi 27 saat yang tular itu mengundang sehingga 2.2 juta tontonan.
Antara kelebihan dan keanehan burung potoo ini selain memiliki suara menyeramkan seakan hilaian manusia, ia juga bijak menyamar seperti pokok atau kayu dan mempunyai mulut lebar yang memudahkan ia untuk memakan mangsanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]