Alex Yoong didik anak muda Malaysia jadi jaguh jalan raya dengan perlumbaan simulator

Alex Yoong didik anak muda Malaysia jadi jaguh jalan raya dengan perlumbaan simulator

Alex Yoong, pemandu F1 pertama negara, kini melatih generasi masa depan untuk menguasai trek perlumbaan maya.

Alex Yoong adalah pemandu F1 pertama negara dan kini melatih anak muda Malaysia untuk menjadi juara perlumbaan simulator. (Cecilia Cletus @ FMT Lifestyle)
PETALING JAYA:
Bagi kebanyakan remaja lelaki dan juga perempuan di Malaysia, pengalaman kali pertama mengendalikan kenderaan diibaratkan seperti impian jadi nyata.

Lebih-lebih lagi apabila ternyata tidak ada yang lebih hebat selain rasa keterujaan adrenalin ketika berlumba di jalan raya dengan kelajuan berkuasa tinggi.

Namun, minat untuk melakukan aksi berkelajuan tinggi saja masih belum mencukupi, terutama apabila pelumba Malaysia rata-rata masih kekurangan kemudahan untuk mengasah bakat mereka.

Paling tidak, itulah hakikat yang perlu ditelan sebelum kedatangan e-sukan.

Kini, pelumba muda dan bercita-cita besar bersaing merebut gelaran raja jalan raya, cuma jalan raya yang dimaksudkan adalah trek maya yang disimulasikan hanya di skrin komputer.

Walau ada yang mencemuh hakikat bahawa perlumbaan ini sepenuhnya maya, gelanggang e-sukan adalah medan yang terlalu nyata, dengan syarikat bernilai berjuta dolar sanggup menaja kejohanan dan pelumbanya.

Malaysia juga tidak ketinggalan mengikuti tren ini, dan dengan bantuan wajah yang tidak asing lagi, generasi muda kini cukup matang dan bersedia untuk beraksi.

Alex Yoong adalah nama yang mungkin diingati oleh peminat perlumbaan Formula 1 tempatan, memandangkan Yoong adalah rakyat Malaysia pertama yang pernah memasuki trek F1.

Setelah hampir 20 tahun sejak penampilan awalnya, kini bekas pelumba berusia 45 tahun itu memikul tanggungjawab untuk mendidik generasi pelumba Malaysia seterusnya.

Yoong percaya bahawa Malaysia mempunyai banyak potensi dari segi bakat membabitkan perlumbaan simulator. (Cecilia Cletus @ FMT Lifestyle)

Memfokuskan sasaran itu, Yoong juga telah menganjurkan Kejuaraan E1, kejuaraan perlumbaan simulator utama di Malaysia dan wilayah sekitarnya.

Tahun ini, Musim ke-2 kejuaraan bermula pada 25 Ogos dan para pesaing berlumba-lumba untuk memenangi hadiah kumpulan bernilai AS $15,000.

Bercakap kepada FMT, Yoong menjelaskan bahawa Kejuaraan E1 adalah peluang bagi calon pelumba untuk mengembangkan kemahiran mereka.

“Kejuaraan E1 bertujuan mencari pasukan dan pemandu terbaik dari rantau ini. Kami menjemput mereka untuk menyertai dan mengajak ribuan penonton menyaksikan perlumbaan tersebut,” katanya.

Menurut Yoong, dia terlibat dalam perlumbaan simulator akibat wabak ini, yang memaksa semua orang berkurung di rumah mereka.

Menyifatkan perlumbaan simulator sebagai masa depan sukan permotoran, Yoong menekankan bahawa ini kerana kebanyakan mereka kekurangan akses kemudahan perlumbaan yang betul, kebanyakkannya terdapat di Eropah.

“Perkara hebat mengenai perlumbaan simulator adalah anda dapat melakukan semuanya dalam talian.

Apa yang saya lihat, pelumba sim kita adalah lebih baik berbanding pelumba sebenar kerana mereka dapat melakukan lebih banyak lagi,” katanya.

Selain dapat berlatih di trek perlumbaan maya yang hampir tidak terbatas, pelumba-sim dapat mengasah kemahiran mereka di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Pelumba sim kita bukan sahaja cemerlang di dunia maya tetapi juga memenangi perlumbaan di Eropah dan di seluruh dunia. Mereka sama hebat dengan pelumba kereta sebenar, malah mungkin lebih baik lagi,” ujarnya lagi.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa perlumbaan sebenar memerlukan kemahiran berbeza daripada perlumbaan simulator, tetapi Yoong percaya sebaliknya, sambil menyifatkan kedua-duanya memerlukan kemahiran yang sama.

Naquib Azlan, pelumba berusia 21 tahun memenangi musim pertama Kejuaraan E1 dan kini menjadi pelumba sim tegar. (Cecilia Cletus @ FMT Lifestyle)

Oleh itu, Kejuaraan E1 adalah platform yang membolehkan pelumba untuk bersaing bukan sahaja bagi mendapatkan hadiah wang tunai yang besar, tetapi juga prestij kerana berjaya mengatasi pelumba lain yang lebih berkaliber.

Yoong percaya bahawa e-sukan telah berjaya menjadikan kehadirannya disedari di Malaysia, sambil menegaskan bahawa “Ia akan dan telah mengambil alih sukan tradisional menerusi pelbagai cara. Itu hakikat kehidupan.

“Kita punya ramai bakat di sini, terutama di Malaysia. Bakat-bakat ini umumnya tidak berpeluang untuk memandu kereta lumba sebenar,” ujarnya.

Melalui perlumbaan simulator, bakat berpotensi ini lebih menonjol dan sering ditaja oleh pengeluar kereta.

Antara bakat tempatan ini ialah Naquib Azlan, seorang pelumba berusia 21 tahun yang bercita-cita tinggi dan ingin membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga dapat menguasai trek tersebut.

Selain memenangi Musim 0 Kejuaraan E1, dia tetap aktif di arena perlumbaan simulator, tanpa sebarang tanda untuk meninggalkannya dalam masa terdekat.

Bercakap kepada FMT, Naquib berkata lumba kereta sudah lama menjadi kegemarannya, ini kerana dia mula bermain permainan video lumba kereta sejak kecil lagi.

“Sejak kecil lagi, saya mahu menjadi pemandu kereta lumba. Bagaimana untuk menjadikannya kenyataan, saya tidak tahu,” katanya.

Terkurung di rumah akibat wabak, Kejuaraan E1 adalah peluang baginya untuk mengubah hobi menjadi sesuatu yang berharga. “Itu adalah keputusan terbaik yang pernah saya buat.”

Naquib berharap dapat menyertai trek perlumbaan dengan kereta lumba sebenar suatu hari nanti, sekali gus memenuhi impian hidupnya. (Cecilia Cletus @ FMT Lifestyle)

Usaha tersebut ternyata telah membuahkan hasil apabila bakatnya dihargai Toyota berikutan pencapaiannya dalam dunia perlumbaan simulator dan kini, dia adalah sebahagian dari program Rookie Racing.

Jadi bolehkah seseorang itu menjadi pelumba sim dalam masa yang singkat? Menurut Naquib, anda harus bersedia melaburkan banyak masa dan tenaga yang mungkin tidak anda miliki.

“Anda perlu banyak latihan,” katanya, sambil menambah bahawa peralatan adalah kurang penting berbanding kemahiran.

“Anda perlu melayan perlumbaan simulator sebagai suatu yang serius jika benar-benar mahu maju dalam dunia perlumbaan.”

Memenangi Kejuaraan E1 adalah impian yang menjadi kenyataan buat Naquib, kemuncak segala usaha yang dilaburkan dalam bidang yang diminatinya itu.

“Ia menunjukkan apa yang mampu saya lakukan sebagai pemandu. Sebahagian kita punya impian untuk menjadi pemandu perlumbaan sebenar. Saya juga tidak banyak beza tetapi kita tidak selalu bernasib baik untuk meraih peluang itu,” katanya.

“Apapun terima kasih kepada perlumbaan simulator, kerana ia telah membuka jalan alternatif untuk kita bermimpi merealisasi sebagai pemandu sebenar.”

Buat masa ini, Naquib tiada perancangan untuk meninggalkan gelanggang mayanya.

“Selagi ia melibatkan perlumbaan dan pemanduan, saya siap untuk itu,” akhirinya.

Ikuti perkembangan Kejuaraan E1 dengan mengikutinya di Facebook dan Instagram.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.