
Dengan sebahagian besar Lembah Klang dan pusat-pusat bandar lain diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan, paparan sentimen patriotik yang lazim kelihatan seakan hilang dari kehidupan masyarakat pada masa ini.
Walaupun keadaan negara kini kelihatan terdesak dan seolah tiada harapan, masih ramai rakyat Malaysia yang percaya bahawa negara masih mempunyai peluang dan kekuatan untuk mengubah keadaan.
Bersempena Bulan Kemerdekaan ini, sejumlah 27 seniman, yang terdiri daripada pendatang baru dan ternama, akan menampilkan karya mereka dalam pameran dalam talian yang berjudul “Jalur Gemilang”.

Pameran ini, yang akan berlangsung hingga akhir bulan, dihoskan oleh Artas Galeri, sebuah galeri seni yang terletak di Petaling Jaya.
Menurut Roy Ng, pengarah Artas Galeri, pihaknya ada rancangan untuk mengadakan pameran bertema Kemerdekaan pada bulan-bulan menjelang Ogos.
Namun, berikutan lanjutan PKP3.0, semakin jelas bahawa rancangannya untuk mengadakan pameran seni secara fizikal tidak mungkin menjadi kenyataan.
Tidak ingin melihat semua usahanya sia-sia, dia memutuskan untuk memindahkan segalanya ke platform dalam talian bagi memastikan seniman tempatan masih mempunyai ruang untuk memaparkan karya mereka.
“Akibat pandemik dan angka yang terus meningkat, saya memutuskan untuk melancarkan satu pameran secara dalam talian dengan e-katalog,” katanya.

Dengan cara itu, orang ramai dapat melihat sendiri karya seni tersebut tanpa perlu meninggalkan rumah.
Seperti yang diharapkan dari mana-mana pameran bertema Merdeka, karya seni yang dipamerkan banyak mencerminkan tema yang relevan dengan bulan tersebut.
Walaupun para seniman diberi kebebasan untuk menampilkan karya seni mereka, kebanyakan mereka menggunakan banyak warna merah, kuning, biru dan putih.
Karya seni yang dipaparkan dalam pameran terdiri daripada pelbagai gaya seni, termasuk abstrak, ‘still-life’ dan figuratif.
“Kebanyakan karya seniman yang dipamerkan dalam pameran ‘Jalur Gemilang’ ini adalah berdasarkan warna bendera negara kita,” kata Roy.
Menurutnya, 27 artis yang mempamerkan karya mereka termasuk graduan seni hingga ke artis berpengalaman yang telah lama mencipta nama mereka sendiri.

Enam daripada seniman di mana karyanya bakal dipaparkan dalam pameran itu berkongsi dengan FMT harapan mereka terhadap negara bersempena bulan Merdeka.
Yuki Lim Xiao Mun, seniman “The Paradise Land”, berkata, “Harapan saya sempena bulan Merdeka ini agar negara kita dapat dipulihkan kepada keadaan yang lebih baik setelah kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.”
Dia juga berharap pemimpin Malaysia akan memimpin negara ke arah yang betul dengan mengamalkan integriti dalam kepemimpinan mereka.
Begitu juga, Fadzril Fakaruddin yang menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu pada masa-masa sukar ini bagi mengakhiri wabak tersebut.
“Pada bulan kemerdekaan ini, saya benar-benar berharap sesuatu yang baik akan datang kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak akan pernah berputus asa menghadapi wabak ini. Setelah kita berjaya dalam memerangi Covid-19 ini, kebebasan akhirnya dalam genggaman kita. ”

Dalam pada Hamir Soib mengharapkan kepada pemerintahan yang lebih baik, rakan artis Najib Ahmad Bamadhaj juga sepertinya mengharapkan agar suasana normal akan segera kembali.
Perpaduan nasional bagi seniman veteran, Awang Damit, dipercayai sangat penting dan menarik sewaktu negara melalui masa sukar ini.
Manakala seorang lagi artis, Zulkefli Talha, turut mengambil kesempatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk saling menyayangi tanpa mengira perbezaan kaum atau agama.
“Pemimpin harus menjadi contoh yang baik untuk rakyat. Juga kedua-dua pemimpin dan rakyat perlu bekerjasama untuk mengakhiri wabak ini dan mengembalikan Malaysia ke zaman kegemilangannya,” ujarnya.
Setiap karya seni yang akan ditampilkan dalam pameran itu adalah untuk dijual, di mana hasilnya akan disalurkan terus kepada para seniman.

Roy berkata seniman itu juga terjejas akibat pandemik Covid-19, kerana penjualan karya seni menurun secara drastik sepanjang perintah sekatan.
Dia mengaitkannya dengan hakikat bahawa calon pembeli tidak dapat melihat karya seniman tempatan, oleh itu wujudnya keperluan mendesak untuk para seniman mencari jalan bagi menunjukkan bakat mereka.
Malah, sejak sebelum perintah sekatan lagi, keadaan ekonomi lembap telah menyaksikan penjualan artis menurun dengan banyak, dan pelaksanaan perintah sekatan memburukkan lagi keadaan.
“Sebilangan besar pengumpul dan pembeli lebih suka melihat sendiri karya tersebut. Terdapat perbezaan yang besar antara melihat karya seni secara peribadi dan maya.
“Apabila anda melihat karya seni secara fizikal, anda akan dapat melihat teksturnya, melihat nada warna dan melihat setiap perinciannya. Ia sesuatu yang tidak dapat ditawarkan oleh pameran maya ini,” katanya.
Namun, ia tidak menjejaskan semangat pengumpul seni seperti Brendan Siva ketika bercakap mengenai pameran “Jalur Gemilang”, berkata, “Setiap karya adalah unik menyerlah sebagai interpretasi dan ekspresi individu mengenai apa yang diwakili dan dilambangkan oleh Malaysia di mata artis.
Ia mencerminkan kekayaan budaya dan sosial Malaysia dan rakyatnya.”
Seorang lagi pengumpul seni, Bingley Sim menambah, “Gaya dan pendekatan yang berbeza dalam penggunaan warna merah, biru, kuning dan putih dalam karya seni itu mencerminkan Malaysia yang riang dan penuh bersemangat.
“Karya-karya dalam pameran ‘Jalur Gemilang’ tahun ini adalah mengenai Ketahanan, Ketabahan dan Harapan,” kata rakan pengumpul seni, Cheow Wee.
“Seni adalah topik yang menyatukan manusia tidak kira apa etnik atau kepercayaan agama seseorang.”
Tambahnya, memandangkan artis juga berdepan tahun yang buruk, adalah penting bagi rakyat Malaysia yang lain untuk tampil kehadapan dan menyokong mereka.
“Kami ingin menyeru kepada para seniman tempatan agar tidak menyerah kerana ramai dari kita yang akan mencari jalan untuk menyokong mereka dengan cara kita sendiri. Ini kerana, Kita Jaga Kita,” ujarnya lagi.
Untuk maklumat lebih lanjut, lihat Instagram atau Facebook Artas Galeri atau WhatsApp 010-9009363 untuk e-katalog.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]