‘Lelaki Masjid’ dari India: Arkitek Hindu reka puluhan masjid

‘Lelaki Masjid’ dari India: Arkitek Hindu reka puluhan masjid

Gopalakrishnan memiliki salinan Al-Quran, Injil serta kitab suci Hindu Gita kerana fahaman kuatnya terhadap keharmonian beragama.

Sebuah masjid hasil sentuhan Gopalakrishnan di bandar Kollam dekat Kerala. (Gambar Al Jazeera)
PETALING JAYA:
Pengalaman luas dalam bidang seni bina sehingga menghasilkan puluhan masjid, empat gereja serta sebuah kuil, Govindan Gopalakrishnan bukanlah calang-calang arkitek.

Menurut laporan Al-Jazeera , lelaki berumur 85 tahun itu yang dikenali sebagai “Lelaki Masjid” menerapkan unsur kemanusiaan sebagai motivasi sepanjang perjalanan 6 dekadnya meniti kerjaya dalam bidang itu.

Gopalakrishnan memiliki salinan Al-Quran, Injil serta kitab suci Hindu Gita yang disimpan di kediamannya di bandar Thiruvananthapuram, Kerala, Selatan India, sebagai bukti bahawa beliau berpegang kuat kepada fahaman keharmonian beragama.

“Saya perhatikan amalan seorang Muslim sepanjang 30 hari berpuasa di bulan Ramadan. Begitu juga dengan amalan berpuasa selama 41 hari yang dilaksanakan jemaah Hindu Sabarimala. Isteri saya seorang Kristian, jadi saya menyertai dan merayakan sambutan Easter juga,” jelas beliau sambil merujuk kepada pasangan, Jaya yang dikahwininya selama 60 tahun.

“Salah seorang dari dua anak saya berkahwin dengan wanita Muslim. Saya mengalu-alukan semua agama ke dalam keluarga saya dan saya menghormatinya secara sama rata,” beliau memberitahu Al Jazeera.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang pembinaan sebaik tamat sekolah kerana keluarganya tidak mampu menampung biaya untuk melanjutkan pelajaran kerana tekanan ekonomi.

Sebaliknya, beliau mengikuti jejak langkah ayahnya sebagai kontraktor binaan dan mula bekerja dari bawah.

Gopalakrishnan mula melakar cetakan bangunan yang telah direka oleh ayahnya dalam buku nota. Beliau kemudian membandingkan perincian yang telah dilakarnya dengan lakaran asal serta mendalami ilmu senibina baik dari segi teknik, siluet dan juga skema warna dengan ayahnya.

Pada masa yang sama, Gopalakrishnan turut menjalin persahabatan dengan LA Saldana, seorang pelukis draf yang cukup dikenali sekitar tahun 1960. Melalui sahabatnya itu, Gopalakrishnan mempelajari teknik lakaran dan lukisan.

“Saya juga mempunyai pengalaman sebagai pelatih tanpa menerima apa-apa bayaran di Jabatan Kerja Awam Kerala, dimana ia membantu mengasah kemahiran dalam melakar. Berbekalkan itu, saya mula diberi kepercayaan untuk membantu ayah dalam pembinaan Masjid Palayam, masjid ikonik di Kerala.

“Pembinaan struktur masjid berkenaan memakan masa lima tahun untuk dibina semula dan ia merupakan satu pengalaman yang baik untuk saya yang masih lagi belajar pada ketika itu. Waktu itu, saya sedar bahawa senibina adalah jalan untuk saya,”.

Paling membanggakan buat duo ayah dan anak itu adalah ketika pembukaan masjid Palayam pada tahun 1964 yang dirasmikan oleh Presiden India ketika itu, Dr Zakir Hussain.

“Saya percaya ia adalah satu kerjasama yang indah, dimana ia melibatkan saya sebagai seorang Hindu dengan sokongan dan bantuan teman saya La Saldana yang merupakan penganut Kristian bagi membina masjid yang senirekanya mempunyai gabungan sentuhan antara kuil dan gereja – satu symbol keharmonian agama”, jelas Gopalakrishnan.

Tugasan solo pertama beliau adalah bangunan kediaman tiga tingkat di Thiruvananthapuram, yang dikagumi oleh pemilik premis berkenaan.

Bagaimanapun, kerjayanya mula mencapai ke kemuncaknya pada tahun 1976 ketika beliau mengetuai pembinaan Masjid Beemapally Juma di Thiruvananthapuram. Pembinaan mega itu memakan masa 18 tahun untuk diselesaikan kerana kekangan peruntukkan dan bergantung kepada dana sumbangan.

Biarpun berdepan cabaran dari segi kekurangan bajet , Gopalakrishnan telah menghasilkan reka bentuk baharu dan tidak stereotype.

Sebagai contoh Sheikh Masjid di Karunagappally mempunyai monumen Mughal yang menjadikan Taj Mahal sebagai contoh dalam menerapkan elemen cinta. Selain itu, Masjid Ziyarathumoodu berhampiran Kollam pula menerapkan gaya Indo-Saracenic, dan masjid Chalai di Thiruvananthapuram disulami senibina kontemporari.

Karya Gopalakrishnan juga bersifat inklusif dan ini dapat dilihat dari penggunaan bahasa Malayaam (bahasa tempatan) yang diukir di atas struktur bangunan sebagai terjemahan kepada bahasa Arab yang terkandung dalam Al-Quran.

Gopalakrishnan turut bermain dengan warna, menggantikan rona tradisional masjidnya dengan palet pastel berwarna merah jambu dan hijau pistachio. (Gambar AL Jazeera)

Biarpun inovasi Gopalakrishnan menerima pujian di kalangan penganut, namun terdapat pengkritik yang membantah hasil karya berkenaan.

Kontroversi tercetus ketika beliau menggunakan motif bunga Teratai di Masjid Beemapally.

“Bunga Teratai adalah bunga yang cantik dan bunga kebangsaan India. Sebagai pereka, saya tidak melihatnya sebagai satu hal yang menyinggung. Tetapi rata-rata orang melihatnya dari sudut pandang yang berbeza,” jelas beliau kepada Al-Jazeera.

Bunga Teratai sinonim dengan pelbagai gambaran tuhan Hindu serta simbol pilihan raya kepada parti pemerintah yang merupakan kelompok Nasionalis Hindu Parti Bharatiya Janata (BJP).

Walaupun berdepan kritikan terhadap pembaharuan yang diterapkan yang dikatakan melangkaui tradisi lama, beliau tetap berpegang teguh dengan pendiriannya, iaitu untuk mengikut kata hati dalam mereka bentuk masjid dan percaya bahawa rumah tuhan seharusnya bebas dari sebarang prejudis.

Seiring waktu, hasil karya Gopalakrishnan turut berubah mengikut trend terkini yang menepati citarasa generasi baharu dalam membina tempat ibadah. Ini dapat dilihat dalam pemilihan warna pastel bagi menggantikan warna tradisional yang biasanya digunakan dalam reka bentuk masjid.

Bagaimana Gopalakrishnan mempertahankan kerjaya serta sumber pendapatannya terutama pada ketika pandemik melanda dunia.

“Saya bangun pada jam 6 pagi dan selesai baca surat khabar serta sarapan sebelum jam 8.30 pagi. Selepas itu, saya menghabiskan masa di meja saya untuk menyiapkan buku saya “Njaan Kanda Quran” yang membawa maksud “Apa yang saya faham dari Al-Quran”.

Buku dengan 1200 halaman itu memakan masa lebih 6 tahun untuk disiapkan, dimana ia akan dapat membantu pembaca memahami dan mendalami Quran dengan cara yang lebih mudah.

“Ketika membaca Al-Quran, saya terkesima dengan persamaan ajaran seperti yang terkandung dalam injil dan Gita. Saya mengambil petikan dari Al Quran dan membandingkannya dengan dua kitab lagi dan memperincikan apa yang saya temukan dalam bentuk nota. Ini adalah asas buku saya. Saya berharap saya boleh menerbitkannya satu hari nanti”.

Gopalakrishnan juga merupakan pengasas Maanavamaitri, organisasi sosial dan kebajikan yang mempromosikan pemahaman dan toleransi agama.

Setelah mengabdikan seumur hidupnya untuk membangunkan kuil, Gopalakrishnan mengakui dia masih mempunyai satu tugas yang belum dipenuhi, iaitu menerapkan asas pemikiran beragama dalam sebuah sekolah dimana ajaran Gita, Quran dan Injil dapat disampaikan kepada pelajar.

“Suatu hari nanti, saya berharap dapat merealisasikan impian saya ini. Lebih luar biasa lagi jika kita semua dapat menyedari bahawa Tuhan itu akhirnya adalah satu, tidak kira agama mana yang kita gunakan untuk mendekatinya”.

“Pada saat kita menyedarinya dan menghormati semua agama, semua perselisihan akan berakhir.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.