Karya Picasso yang dicuri, berjaya ditemukan semula

Karya Picasso yang dicuri, berjaya ditemukan semula

Karya pelukis terkenal itu dicuri dari sebuah galeri seni di Greece pada 2012.

Lukisan Picasso bertajuk ‘Woman’s Head’ berjaya ditemukan semula.

Sebuah karya dihasilkan pelukis terkemuka, Pablo Picasso berjaya ditemukan semula selepas sembilan tahun hilang akibat dicuri dari sebuah galeri seni di Greece.

Polis di Athens berjaya menemui lukisan bertajuk ‘Woman’s Head’ itu bersama sebuah lagi lukisan kincir angin yang dihasilkan oleh pelukis Belanda, Piet Mondrian pada 1905.

Lukisan terbabit ditemukan bersama sebuah lagi karya seni susulan rompakan terancang yang berlaku di National Art Gallery pada 2012 itu.

Menurut ARTNews, kegiatan itu dilakukan dalam tempoh tujuh minit selepas perompak mematikan sistem penggera sebelum menyelinap masuk sekitar awal pagi.

Reuters yang memetik seorang jurucakap polis melaporkan, seorang lelaki tempatan sudah ditahan selepas semua lukisan terbabit ditemukan tersembunyi di sebuah gaung di pinggir bandar terbabit.

Berita penemuan itu dimaklumkan beberapa bulan selepas dilaporkan bahawa polis masih percaya karya seni terbabit masih berada dalam negara berkenaan.

Lukisan Picasso yang memaparkan potret wanita menerusi gaya aliran kubisme terkenalnya, dihadiahkan kepada galeri terbabit oleh artis berkenaan pada 1949.

Katanya, lukisan yang dihasilkan satu dekad lalu adalah bagi mengiktiraf penentangan negara itu terhadap Nazi Jerman.

Manakala lukisan Mondrian pula ditemui di lokasi kecurian apabila pencuri tidak sengaja menjatuhkannya ketika cuba melarikan diri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.