
Sejak lebih satu abad lalu, trem berwarna kuning menjadi pengangkutan paling ikonik di bandar Lisbon, Portugal namun ia semakin lenyap ditelan arus zaman.
Paulo Marques enggan membiarkannya terus hilang dalam lipatan sejarah apabila berusaha membaik pulih dan memuliharanya kembali.
Dia kini menjadi seorang pengumpul trem lama di sebuah gudang di utara bandar itu selepas kali pertama membelinya pada 1996 sebagai koleksi pertama.
“Ketika saya mula membeli trem pertama, orang ramai seperti tidak kisah tetapi kini tanggapan itu sudah berubah.
“Trem menjadi satu perkara yang paling diingati malah ia turut menjadi hiasan dalam poskad bandar ini,” kata lelaki berusia 48 tahun itu.
Trem sudah menjadi sebahagian daripada penduduk Lisbon sejak 1901 dan ia masih lagi popular.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk mengeluh kerana tidak lagi boleh menggunakannya sebagai pengangkutan harian kerana ia sering dinaiki ramai pelancong.
Sebelum bas mendominasi sistem pengangkutan sejak 1960 an, terdapat beratus trem beroperasi di laluan sejauh lebih 100 kilometer dan kini hanya tinggal 50 buah saja.
Marques yang turut memiliki sebuah restoran bertemakan trem, tertarik dengan keunikan pengangkutan itu yang digunakan sejak alam persekolahan lagi.
Menurutnya, ia mungkin memakan masa selama lima tahun untuk membaiki semula trem lama dan melihatnya bergerak semula di atas landasan yang dibina di luar gudangnya.
“Sesiapa saja yang datang ke sini, sama ada menyukai trem atau tidak, pasti kagum melihat semua koleksi. Biasanya, barang yang menjadi koleksi tidak sebesar ini sekaligus menjadikannya lebih unik,” katanya.
Marques turut menyimpan impian untuk membuka muzium tremnya sendiri bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat pengangkutan itu pada masa akan datang.
“Jika sesuatu berlaku kepada saya sekali pun, trem ini akan tetap kekal di sini,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]