
Seorang peminat tegar Lego mempamerkan daya kreativiti yang sangat tinggi apabila berjaya menyiapkan sebuah miniatur Kota Larangan di Beijing daripada 700,000 bongkah plastik Lego.
Li Zhining dikatakan mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan projek miniatur ‘I am Chinese’ bersaiz 4 x 2.4 meter itu.
Ia dihasilkan dengan begitu teliti sekali apabila semua elemen dalam kompleks terkenal di dunia itu turut dibina termasuk Pintu Gerbang Meridian.
Pada masa sama, lebih 70 istana turut dibina bersama 9,000 rumah di bahagian utama, parit di sekeliling kompleks serta semua menara kecil di Kota Larangan itu.
Lebih menakjubkan apabila, artis Lego itu langsung tidak menggunakan bongkah diperbuat khas, sebaliknya hanya bergantung kepada bongkah standard yang sudah lama menjadi koleksinya.
Menurut Li, dia mula minat bermain Lego sejak 2008 lagi dan sejak itu menjadi semakin obses terhadap permainan terkenal terbabit.
Sehingga kini, dia mempunyai lebih 100 juta koleksi bongkah individu yang secara keseluruhannya dianggarkan seberat 11 tan.
Bagaimanapun, dia tidak memberitahu bagaimana dia menyimpan semula koleksi mega itu namun mengakui ada yang menggelarkan sebagai ‘Si Gila Lego’.
Li berkata, dia berharap projek berskala besar itu dapat menonjolkan semangat dan asal usul rakyat China.
Sebelum ini, terdapat banyak replika yang berjaya dihasilkan oleh peminat Lego termasuk Gereja Notre Dame, Istana Westminster, Menara Canton serta World of Warcraft.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]